Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seramai 143,000 pelajar di sekolah seluruh negara, kecuali Kedah dan Johor, memulakan sesi persekolahan secara bersemuka setakat semalam dan hari ini, selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan COVID-19.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata daripada jumlah itu seramai 94,000 pelajar dari negeri Kumpulan B - Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan - memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

Bakinya melibatkan pelajar dari negeri Kumpulan A melibatkan Terengganu, Kelantan dan Langkawi semalam.

“Secara keseluruhannya, tatacara pelaksanaaan pembukaan sekolah dan juga kehadiran murid untuk sesi pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka berjalan lancar dan perkara ditetapkan dalam garis panduan pengoperasian pembukaan sekolah dipatuhi dengan baik.

“Hampir semua negeri buka sekolah kecuali Kedah dan Johor, pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) ialah membawa murid kembali ke sekolah, kita mahu sistem pendidikan kembali bergerak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah di Kuala Pilah hari ini.

Terdahulu, Radzi turut meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di beberapa sekolah termasuk di SMK Tuanku Ampuan Durah, Seremban dan SMK Tunku Muhammad dan Sekolah Menengah Sains Tunku Jaafar di Kuala Pilah.

Dalam pada itu, beliau berkata respons daripada ibu bapa amat baik namun masih ada segelintir ibu bapa merasakan masa ini belum sesuai untuk menghantar anak mereka ke sekolah kerana khuatir dengan penularan COVID-19.

Bagaimanapun, katanya tiada sebarang tindakan dikenakan kepada ibu bapa dan mereka diberi pilihan sama ada untuk menghantar anak mereka atau tidak tetapi ia perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu.

“Kalau kita lihat trend sebelum ini, apabila kita mula buka sekolah pada Jun tahun lepas dan awal Mac lepas, memang begitulah trendnya, peringkat awal sebahagian ibu bapa ambil pendekatan untuk tidak hantar terlebih dahulu namun apabila masa berlalu untuk satu tempoh kita lihat kehadiran amat baik,” katanya.

Beliau berkata kehadiran pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua adalah menggalakkan dan mereka dilihat bersemangat untuk meneruskan pembelajaran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS