Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid ulas akaun luar pesisir: 'Jangan sangka saya nak lari cukai'

PARLIMEN | Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) berkata dia tidak cuba untuk mengelak cukai selepas ditanya mengenai dakwaan dirinya terbabit dengan akaun syarikat luar pesisir sebagaimana yang didedahkan dalam kontroversi Kertas Pandora.

Presiden Umno sedang membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mencelah ucapannya.

Rayer memintanya untuk mengesahkan sama ada dia mempunyai akaun luar pesisir yang berpengkalan di British Virgin Island (BVI) dan adakah dia berhasrat untuk mengembalikan wang itu ke Malaysia.

"Sila siasat apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Jelutong. (Akaun) itu ketika saya berada dalam sektor korporat," kata Zahid.

Jelas Zahid, pada masa itu dia ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat tersenarai yang mempunyai pelaburan di negara terkemuka. Bagaimanapun, Zahid tidak menamakan negara itu.

Syarikat berkenaan telah menerima konsesi dari negara itu untuk melaksanakan projek, katanya, tetapi keuntungannya tidak dapat dibawa keluar dari negara itu.

"Sebaliknya diminta untuk dilaburkan semula di negara berkenaan.

"Tentunya sebagai syarikat yang tersenarai, mahu supaya dividen dapat diberikan kepada pemegang saham..dan kini syarikat yang didaftarkan atas nama syarikat yang tersenarai itu pun telah tidak ada lagi.

"Jadi jangan sangka saya macam jenis yang Yang Berhormat Jelutong kata, bahawa mahu melarikan diri dari cukai,” kata Zahid.

Walaupun Rayer cuba menyoal lebih lanjut tetapi Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menghalangnya.

Azhar berkata Zahid tidak membenarkan lagi celahan dalam perbahasannya.

Zahid kemudian cuba menenangkan Rayer dan berkata mereka boleh membincangkan perkara itu di kantin parlimen kemudian.

"Itu kita boleh sembang di cafe nanti ya.

"Dia (Rayer) belum masuk korporat mungkin dia tak tahulah, bidang guaman saja dia tahu.

"Penstrukturan semula korporat, percantuman, pengambilalihan, tolong belajar dari saya," kata Zahid lagi.

Kebocoran Kertas Pandora, yang diperoleh oleh Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) juga mendedahkan aset kewangan luar negeri dan rakan perniagaan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Selain Daim dan Zahid, tiga individu terkemuka lain juga disebut dalam Kertas Pandora kerana memiliki akaun luar pesisir.

Mereka adalah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menterinya Yamani Hafez Musa dan Anggota Parlimen Selayang William Leong.

Pun begitu, memiliki akaun, syarikat atau amanah luar pesisir tidak semestinya membuktikan seseorang itu terbabit dalam urus niaga haram dan menubuhkan entiti luar pesisir bukanlah sesuatu yang melanggar undang-undang.

[Baca berita penuh]


 

Lihat Komen
ADS