Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lantikan Danesh Raj melalui saluran betul - Menteri
Diterbitkan:  Oct 6, 2021 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Pelantikan Danesh Raj Nagarajan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Malaya (UM) adalah melalui saluran betul iaitu bagi mewakili komposisi alumni institut pengajian tinggi berkenaan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelantikan Danesh Raj, 26, berdasarkan penglibatan aktif beliau dalam program dan aktiviti pelajar sepanjang bergelar mahasiswa.

“... sehingga kini, beliau masih menyumbang kepada aktiviti alumni. Pelantikan beliau adalah sebagai satu bentuk penghargaan kepada orang muda di samping memberi peluang untuk menyumbang input kepada UM daripada kaca mata alumni itu sendiri.

“Kita juga hendak melihat sumbangan secara langsung anak muda dalam kepimpinan organisasi di peringkat nasional terutama di universiti awam.

“Jangan risau, sebab pemilihan beliau dan cadangan yang dibawa kepada saya ini adalah berdasarkan profesionalisme,” katanya ketika menggulung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Pengajian Tinggi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang ingin tahu kelayakan anak muda itu sebagai seorang LPU serta jaminan kerajaan bahawa tiada campur tangan politik terhadap pengurusan universiti awam.

Selain itu, Noraini berkata Danesh Raj juga adalah alumni pusat kebudayaan UM, mempunyai pemikiran terbuka dan tidak kekok dalam apa-apa jua situasi.

Menyentuh mengenai isu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), Noraini berkata libat urus terakhir telah diadakan bersama Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan pada 14 Sept lepas bagi mengumpul input terkini berkaitan penambahbaikan yang boleh dibuat melalui pindaan akta itu, sesuai dengan keperluan semasa.

Sehubungan itu, katanya satu jawatankuasa kerja penambahbaikan AUKU ditubuhkan pada September tahun lepas untuk meneliti secara menyeluruh penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dan sentiasa relevan dengan kehendak semasa.

“Keahlian jawatankuasa itu terdiri daripada pakar perlembagaan, pakar sektor pendidikan tinggi, wakil pengurusan tertinggi universiti, wakil persatuan dan NGO serta wakil pelajar.

“Apa juga tindakan yang akan diambil oleh kementerian ia berlandaskan hasrat untuk melahirkan mahasiswa dinamik, peka dan prihatin terhadap isu kenegaraan dalam usaha mempersiapkan mereka menjadi pemimpin masa hadapan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS