mk-logo
Berita
PN: Tiada keperluan wujudkan jawatan timbalan speaker ketiga
Diterbitkan:  Oct 7, 2021 10:18 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Gabungan Perikatan Nasional (PN) berpendirian tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat buat masa ini dan tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi mewujudkan jawatan tersebut.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata Majlis Tertinggi PN memutuskan dua jawatan timbalan speaker sedia ada seperti termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai bagi menjamin kelicinan mesyuarat Dewan Rakyat.

Lagi pula, katanya, Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan membenarkan mana-mana ahli Dewan Rakyat mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan speaker dan timbalan speaker.

“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

“Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) juga terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama - dan pindaan perlembagaan untuk jawatan speaker ketiga bukan satu daripadanya.

“Pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut. Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya.

“Atas dasar ini, PN telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa sumber PH dan BN memberitahu bahawa kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan jawatan timbalan speaker ketiga, dikatakan akan dikhususkan kepada pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut memandang baik cadangan itu namun berkata ia belum dibincangkan secara rasmi, sebaliknya hanya dibangkitkan oleh ahli-ahli politik.

Buat masa ini, hanya satu daripada dua jawatan timbalan speaker terisi - oleh Mohd Rashid Hasnon (Bersatu-Batu Pahat) - manakala satu lagi kosong selepas Azalina Othman (BN-Pengerang) meletak jawatan pada Ogos lalu.

Pun begitu, Azalina dilantik oleh speaker Azhar Harun untuk mempengerusikan sidang Dewan Rakyat buat sementara waktu, selepas pemilihan timbalan speaker kedua yang baru ditangguhkan sehingga sidang yang akan datang.

Untuk rekod, Muhyiddin, ketika mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri ketika dilantik menjadi perdana menteri merujuk kerajaan baru itu sebagai kerajaan PN.

Pun begitu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata kerajaan baru "bukan kerajaan PN" tetapi "kerajaan Malaysia" termasuk parti-parti dari Barisan Nasional, PN, Gabungan Parti Sarawak dan juga Parti Bersatu Sabah.

PN hanya dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan tidak BN, GPS dan PBS.

Dengan 50 ahli parlimen, PN adalah rakan kongsi terbesar dalam pentadbiran Ismail yang mendapat sokongan 114 ahli parlimen. BN mempunyai 42 ahli parlimen.

Muhyiddin dan Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali membantu mencetuskan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan menubuhkan kerajaan PN.

Kerajaan PN pula jatuh selepas ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Sejak Bersatu bekerjasama dengan Umno, PAS, GPS dan parti-parti kecil lain, ia juga telah kehilangan kedudukannya sebagai peneraju kerajaan negeri Perak, Kedah dan Johor.

Ismail dilantik sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia setelah mendapat sokongan 114 anggota Parlimen.

Muhyiddin sebelum ini berkata sokongan kepada Ismail dari 50 anggota parlimen PN adalah dengan syarat tidak ada yang menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah yang akan dilantik ke kabinet.

Ini dilihat sebagai usaha untuk menyekat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - yang dibicara di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Zahid dilihat sebagai pemimpin Umno yang bertannggungjawab menggulingkan presiden Bersatu dari jawatan perdana menteri.

Lihat Komen
ADS