Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mula menjalani senaman ringan di pusat fisioterapi Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini bagi menguji kesan dan proses pemulihan sakit jantungnya.

Anaknya, Datuk Mukhriz berkata, bapanya bersenam dengan menggunakan mesin "tread mill" bagi menguji pernafasan dan menggerakkan semua otot-ototnya bagi membolehkan proses rawatan berjalan lancar.

"Dari senaman itu, doktor kata kesihatan bapa saya makin baik, tiada kesan-kesan sampingan dari rawatan yang dilakukan," katanya ketika dihubungi malaysiakini tengah hari ini.

Mesin senaman "treadmill" menghendaki penggunanya berlari atau "berjogging" setempat dengan kelajuan tertentu.

Mukhriz bagaimanapun mengakui Dr Mahathir masih belum boleh bergerak cergas kerana mudah penat dan perlu berada di hospital itu untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Majlis doa selamat

Beliau juga menyatakan, Dr Mahathir akan akur dengan nasihat doktor untuk berehat dan akan hanya mengikuti perhimpunan agung Umno secara langsung melalui televisyen di bilik rawatannya.

"Bapa saya memang berhajat sangat untuk bersama dengan perwakilan dalam perhimpunan agung kali ini walaupun hanya dijemput sebagai jemputan khas," katanya.

Beliau juga menjelaskan, majlis doa selamat untuk Dr Mahathir di Grand Ballroom, Hotel Grand Season, Jalan Pahang bukan diadakan malam ini tetapi malam esok.

Menurutnya, majlis itu anjuran keluarganya bagi mendoakan kesihatan dan kesejahteraan bapanya mulai jam 6.30 petang hingga 9.30 malam.

Katanya, orang ramai dan semua perwakilan Umno termasuk Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presidenya dijemput hadir.

Lawatan Seri Paduka

Sementara itu, Bernama melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid hari ini menziarahi Dr Mahathir di IJN. Baginda berdua tiba kira-kira jam 5 petang dan meluangkan lebih sejam dengan Dr Mahathir.

Pada sebelah pagi, sejak jam 9.45 pagi, beberapa menteri Kabinet dan orang kenamaan tiba untuk melawat bekas Perdana Menteri itu.

Antara yang pertama tiba ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin yang memberitahu pemberita Dr Mahathir yang sedang menjalani latihan fisioterapi semasa beliau datang melawat, kelihatan lebih sihat dan gembira serta dalam keadaan bersemangat.

Ditanya sama ada beliau berbincang mengenai perhimpunan agung Umno dengan bekas Perdana Menteri, Abdul Aziz menjawab: "Tidak, kami tidak berbincang, saya cuma jumpa beliau."

Beliau disusuli Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Zulhasnan Rafique turut melawat bekas Perdana Menteri itu.

Antara orang kenamaan lain yang melawat Dr Mahathir hari ini ialah bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat dan isterinya Puan Sri Ivy Chong.

Mokhzani, anak lelaki Dr Mahathir yang mengunjunginya, enggan mengulas atau memberi komen apabila didekati media.

Dr Mahathir yang mengalami serangan jantung ringan pada 9 November lalu, dijangka dibenarkan pulang seawal-awalnya Khamis ini.

Beliau yang dipindahkan dari Unit Rawatan Koronari IJN ke wad biasa pada malam Jumaat, sedang menjalani beberapa sesi senaman ringan buat masa ini.

Bekas Perdana Menteri itu dinasihatkan doktor supaya berehat dan tidak melakukan sebarang tugas selama dua bulan selepas dibenarkan keluar.