Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Takut apa pada Syed Saddiq, soal Puad kepada PM
Diterbitkan:  Oct 11, 2021 10:30 AM
Dikemaskini: 5:07 AM

Susulan pelancaran Parti Kuasa Rakyat yang diasaskan oleh abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, seorang pemimpin Umno hari ini menggesa kerajaan meluluskan permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebuah parti politik.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi berkata, tidak ada sebab mengapa kerajaan perlu takut kepada bekas menteri belia dan sukan yang juga presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Sama tapi tak serupa. Kini ada dua parti PKR. Parti Keadilan Rakyat dan Parti Kuasa Rakyat. Jangan pula pendaftaran PKR (baru) lulus, Muda tak lulus.

"Takut apa pada Syed Saddiq. Elok luluskan kedua-duanya. Parti baru Azmin Ali pula bila," soalnya yang jelas menunjukkan rasa kurang senang terhadap pentadbiran kerajaan sekarang.

Parti Kuasa Rakyat yang merupakan sebuah parti pelbagai kaum menjadi tajuk utama media kebelakangan ini apabila pengasasnya, Kamarazaman Yaakob merupakan adik kepada perdana menteri.

Kamarazaman berkata parti itu akan kekal menjadi sebuah parti yang mesra kerajaan dan BN.

Sebelum ini berlaku perbalahan dalam Umno antara kumpulan yang menyokong kepimpinan perdana menteri terdahulu, Muhyiddin Yassin dan puak yang mahu dia disingkirkan.

Konflik dalaman itu dilihat reda apabila Ismail dilantik sebagai perdana menteri kesembilan bagi menggantikan Muhyiddin, yang mengundurkan diri selepas ahli parlimen Umno yang diketuai presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Ketika ditanya mengenai pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada majlis pelancaran Parti Kuasa Rakyat semalam, Kamarazaman yakin tidak ada masalah untuk mendaftarkan parti itu.

Bagaimanapun, Muda, sebuah parti politik yang dipimpin sekumpulan anak muda dan ditubuhkan pada September tahun lalu masih gagal didaftarkan sebagai sebuah parti politik yang sah.

Pada 12 Ogos lalu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin menolak rayuan Muda untuk didaftarkan sebagai parti politik, menyebabkan kumpulan itu mencabar keputusan berkenaan di mahkamah.

Lihat Komen
ADS