Mengawal selia pengagihan peruntukan pembangunan kawasan dengan efisien
Melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, peruntukan yang sama rata akan diberikan. Inilah komitmen kerajaan dalam menghormati perkara-perkara seperti termaktub di dalam Memorandum tersebut.
Menurut Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, penambahbaikan peruntukan pembangunan kawasan adalah amat penting untuk membangunkan prasarana dan infrastruktur yang sempurna serta dapat memberi geran kepada persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan lain-lain supaya mereka dapat menjalankan pelbagai program untuk masyarakat.
Beliau juga menjelaskan bahawa peruntukan ini dibahagikan kepada dua jenis iaitu dana terus dan dana untuk pembangunan projek-projek infrastruktur. Dana terus akan diberikan kepada pihak NGO, PIBG atau mana-mana persatuan yang telah mendaftar manakala dana pembangunan infrastruktur akan digunakan untuk menaiktaraf dewan orang ramai, membaikpulih balai raya, padang permainan, tandas awam, penyelenggaraan kawasan sekolah dan sebagainya.
“Kita selalunya akan mengunakan peruntukan ini untuk projek-projek yang berskala kecil dan untuk projek-projek yang tidak mempunyai peruntukan yang khas daripada mana-mana jabatan kerajaan,”ujarnya.
“Sekarang ini, peruntukan untuk pembangunan kawasan tidak ada undang-undang yang khusus untuk menentukan bagaimana duit itu patut dibelanjakan”
“Di kerajaan Negeri Sembilan peruntukan ini disalurkan melalui belanjawan negeri. Kita ada peruntukan untuk pejabat menteri besar supaya program-program kemasyarakatan dapat dilaksanakan. Apabila belanjawan sudah diluluskan, pejabat menteri besar akan mengagihkanya kepada pusat-pusat khidmat ahli dewan undangan negeri (ADUN). Untuk projek-projek yang kecil pula, ADUN masing-masing boleh memohon melalui majlis daerah atau pejabat tanah daerah.
“Biasanya agensi pelaksanaan tidak boleh menentukan projek pembangunan kawasan, kerana peruntukan tersebut akan diselaraskan oleh pihak pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Perubahan dari segi mengawal selia peruntukan tersebut perlu dititikberatkan, bukan sahaja dari aspek pengagihan tetapi juga dalam pelaksanaan projek “on the ground”. Hal ini demikian kerana, walaupun pihak pejabat daerah atau PBT mempunyai peruntukan pembangunan, masih, kelulusan untuk menerimanya mengambil masa yang lama,” beliau berkata.
Menginstitusikan reformasi polisi Peruntukan Pembangunan Kawasan
Menurut YB Anthony, dasar polisi tersebut akan menjadi lebih jelas melalui implementasi undang-undang dan enakmen. Sehingga kini, tidak ada mana-mana kerajaan negeri yang melaksanakan peruntukan ini melalui enakmen. Biasanya, ia hanya melalui belanjawan negeri dan merupakan satu dasar,” katanya.
Perubahan pendekatan ke arah yang lebih positif
"Pemberian peruntukan sama rata ini adalah hasil usaha daripada pihak Pakatan Harapan, kerana kita telah berunding dengan pihak Kerajaan Perseketuan untuk mengadakan satu persefahaman politik supaya dapat menstabilkan keadaan politik.
“Melalui perbincangan tersebut, kita telah berunding supaya pemberian peruntukan pembangunan kawasan perlu lebih seimbang dan adil kepada semua kawasan tidak kira sama ada parti tersebut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut atau tidak.
Adakah kerajaan akan memastikan pemberian peruntukan pembangunan kawasan yang adil berterusan?
“Peruntukan ini adalah hanya atas budi bicara Perdana Menteri. Agensi di bawah jabatan Perdana Menteri yang dikenali sebagai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang akan bertanggungjawab dalam menguruskan peruntukan tersebut.
“Agensi-agensi ini akan menerima arahan daripada Perdana Menteri, sama ada peruntukan ini diberi dengan adil dan berterusan akan bergantung kepada dasar yang ditetapkan oleh Perdana Menteri.
“Apabila mengikut budi bicara Perdana Menteri maka pemberian itu sudah tentunya akan mengikut musim dan pertimbangan politik. Jika mengikut pertimbangan politik, maka peruntukan tersebut mungkin akan ditarik balik. Untuk memastikan pemberian ini adalah secara berterusan, dasar dan undang-undang yang lebih jelas perlu digubal untuk memastikan semua kawasan mendapat peruntukan tersebut dengan adil.”
Di samping itu, satu formula yang lebih sistematik patut dilaksanakan dalam pemberian peruntukan ini. Kita tidak boleh hanya mengambil kira jumlah pengundi di sesuatu kawasan. Misalnya di Sabah dan Sarawak, walaupun ahli parlimen di kawasan tersebut tidak mempunyai pengundi yang ramai tetapi kawasan di negeri tersebut agak besar dan mereka memerlukan peruntukan yang lebih untuk membangunkan kawasan.
Oleh itu, formula yang sistematik ini perlu mengambil kira pelbagai pertimbangan seperti jumlah pengundi, jumlah keluasan, tahap pembangunan ekonomi kawasan tersebut dan sebagainya.
Setakat ini, semua kawasan dapat peruntukan yang sama rata kecuali Sabah dan Sarawak yang mempunyai peruntukan tambahan kerana kawasan pedalaman dan luar bandar yang luas diambil kira.
Mengawal selia pengagihan peruntukan dengan efisien
Selain membina formula pengagihan yang saksama, setiap kawasan patut membuat laporan peruntukan pembangunan kawasan mereka dan hantar kepada parlimen. Apabila ahli parlimen membelanjakan sesuatu peruntukan, mereka perlu laporkan kepada pihak ICU dan laporan tersebut perlu diaudit.
“Terdapat ahli parlimen yang mengambil inisiatif dengan memaparkannya secara terbuka walaupun perkara ini tidak diwajibkan. Peruntukan yang digunakan sebenarnya patut dipaparkan secara terbuka melalui laman web dan di parlimen,” katanya.
Semua ahli parlimen bertugas untuk rakyat. Justeru ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak perlu bertanggungjawab dalam menggunakan peruntukan yang diterima dan berganding bahu serta memberi fokus untuk membantu rakyat.
(Kempen: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, BERSIH 2.0)
Pastikan rakyat Malaysia TIDAK dihukum berdasarkan siapa yang mereka undi! Wujudkan kesamarataan CDF dalam undang-undang di peringkat persekutuan dan negeri! Sokong petisyen ini: http://bit.ly/3A8SaJF

