Pemimpin BN dibidas kerana 'kurang ajar' dengan PM
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat dibidas oleh seorang perwakilan Pemuda Umno hari ini kerana bersikap "kurang ajar" pada Perdana Menteri.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat dibidas oleh seorang perwakilan Pemuda Umno hari ini kerana bersikap "kurang ajar" pada Perdana Menteri.
Wakil Pemuda Umno Selangor, Ramli Simbok menegaskan, beberapa pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) itu berani menyanggah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana orang Melayu bertelagah sesama sendiri.
"Bila berlaku kegawatan dalam pucuk pimpinan Umno, ada pihak ambil kesempatan dan paling menyedihkan bila rakan yang tidur sebilik cuba jentik dan tunjal Presiden parti kita.
"Pemuda Umno nak ingatkan mereka supaya jangan lupa diri, Ong Tee Kiat jangan lupa dia berhutang budi dengan orang Melayu. Dia menang dalam pilihanraya kecil kerana sokongan orang Umno. Kita korbankan kerusi Umno untuk beliau," katanya semasa membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno petang ini.
Ramli berkata: "Kalau mereka nak tegur, tegurlah cara betul-betul, tapi jangan guna media, dedah semua. Dalam media pun ada aurat..aurat media ialah sensitiviti kaum."
Menurutnya, Pemuda Umno akan bangkit mempertahankan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri jika ada pihak mahu mencabar atau menggugat beliau.
"Bagi Pemuda, membujur lalumelintang patah," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh daripara perwakilan.
Kenyataan Khairy
Beliau juga menyatakan tidak salah bagi pemimpin Umno bangkit memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak Melayu apabila kepentingan bangsa mereka dicabar dan digugat oleh kaum lain.
"Kalau asyik angguk apa nak jadi dengan bangsa Melayu," tegasnya sambil menegaskan sokongan penuhnya kepada peringatan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin pada September lalu yang antara lain mendakwa orang Cina akan mengambil kesempatan menekan kerajaan jika orang Melayu lemah.
Kenyataan Khairy itu telah mendapat kritikan keras dari kaum Cina termasuk parti komponen Barisan Nasional seperti MCA dan Gerakan.
Ramli menambah, para pemimpin Umno perlu menghentikan kegawatan di peringkat atasan kerana setiap kali berlaku krisis, prestasi Umno dan BN dalam pilihanraya akan merudum.
"Lihat saja dalam pilihanraya 1999, di banyak kawasan majoriti kemenangan calon-calon BN amat kecil. Kita harus belajar dari pengalaman ini," ujarnya.

