Perintah reman terhadap penganalisa politik dilanjut hingga Khamis
Perintah tahanan reman terhadap seorang penganalisa politik dilanjutkan selama dua hari lagi oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tiga minggu lalu.
Perintah tahanan reman terhadap seorang penganalisa politik dilanjutkan selama dua hari lagi oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tiga minggu lalu.
Majistret Ahmad Fairuz Mohd Puzi membenarkan lanjutan tempoh reman terhadap lelaki berumur 46 tahun itu sehingga Khamis ini. Sebelum ini, beliau direman sehingga Ahad lalu, dan disambung dua hari lagi sehingga hari ini.
Penganalisis politik itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 Kanun yang sama bagi kesalahan mengurung, menculik dan membunuh.
Altantuya dipercayai ditembak sebelum mayatnya diletupkan di Empangan Tasik Subang, Puncak Alam, Shah Alam.
Penganalia politik itu, yang juga pengarah sebuah badan pemikir tempatan, dibawa ke mahkamah pada jam8.15 pagi tadi dengan sebuah trak "black maria" yang bertutup dan diiringi kereta peronda polis.
Menurut laporan Bernama, puluhan jurugambar dan jurukamera yang menunggu di sekitar kawasan mahkamah sejak awal pagi gagal merakam wajah beliau yang berpakaian kemeja biru laut.
Turut berada di mahkamah ialah isteri penganalisa berkenaan dan anak perempuannya selain kakak, abang, ibu dan bapanya serta sanak saudara terdekat. Mereka dibenarkan bercakap selama beberapa minit dengan penganalisis itu selepas sesi permohonan perintah reman berakhir pada jam10.45 pagi.
Kemuka bantahan
Penganalisa itu dibawa keluar dari perkarangan mahkamah pada jam 11.45 pagi oleh kenderaan yang sama dan dibawa ke Bukit Aman sebelum dibawa semula ke Hospital Kuala Lumpur untuk dimasukkan sekali lagi ke Unit Rawatan Koronari bagi menjalani pemerhatian kerana jangkitan paru-paru dan asma.
Peguam beliau, Datuk Muhammad Shafee Abdullah, yang ditemui pemberita berkata majistret membenarkan permohonan pihak polis melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap anak guamnya sehingga Khamis ini walaupun beliau mengemukakan bantahan.
"Saya fikir tak ada lagi reman selepas reman tamat Khamis ini. Lanjutan tempoh reman dibenarkan atas beberapa sebab yang diberikan (oleh polis) tetapi sebab yang utama ialah mereka (polis) tidak cukup masa untuk melengkapkan siasatan.
"Adalah beberapa sebab diberikan untuk lanjutan ini tetapi disebabkan anak guam saya masuk hospital ia mengganggu siasatan," katanya.
Muhammad Shafee berkata walaupun anak guamnya masih menerima rawatan di HKL, dia tetap memberi kerjasama sebaik mungkin kepada polis.
Mengenai pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tindakan beliau mengeluarkan kenyataan kepada pemberita, Muhammad Shafee berkata beliau berbuat demikian disebabkan media tidak diberikan maklumat yang sebenarnya.
"Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan situasi yang sebenar. Jika kita tidak beri maklumat dan pemberita laporkan maklumat yang salah, siapa lagi yang perlu dipersalahkan.
"Anda tidak boleh salahkan pihak pemberita kerana mereka tidak diberikan maklumat yang betul. Jadi kita beri maklumat kepada mereka tanpa terlalu terperinci," kata Muhammad Shafee.
'Salah maklumat'
Mengenai laporan akhbar berhubung kes anak guamnya, Muhammad Shafee berkata: "Pada awalnya, saya berpendapat akhbar menulis melebih-lebih disebabkan oleh spekulasi dan salah maklumat. Tapi sekarang dah kurang...(laporan) lebih munasabah."
Ditanya sama ada penganalisis itu akan didakwa atau dibebaskan selepas tempoh tahanan remannya tamat Khamis ini, beliau berkata pihak Peguam Negara akan memutuskan perkara itu.
Kes pembunuhan Altantuya @ Aminah, 28, model sambilan dari Ulan Bator, mendapat liputan meluas media setelah dikatakan ditembak sebelum mayatnya diletupkan mengguna tiga bom tangan di Empangan Tasik Subang, Puncak Alam.
Dia datang ke Malaysia pada 6 Okt bersama adik perempuan dan sepupunya untuk mencari seorang lelaki yang didakwa bapa kepada anaknya yang berusia 16 bulan.
Mereka bertemu di Mongolia dua tahun lalu. Altantuya dikatakan meminta bantuan kewangan daripada penganalisa itu untuk merawat anak lelakinya semasa berkunjung ke rumah lelaki berkenaan di Damansara Heights pada 19 Okt, kali terakhir dia dilihat masih hidup.
Apabila Altantuya tidak muncul semula selepas kunjungan itu, adik perempuan dan sepupunya membuat laporan polis serta mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Mongolia di Bangkok.
Berikutan laporan itu, polis menahan tiga suspek yang kemudian membawa mereka ke satu kawasan di Puncak Alam di mana beberapa cebisan tubuh manusia, yang dipercayai milik wanita itu, dijumpai.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.