Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjawat awam antara 7 individu didakwa terlibat laga ayam

Tujuh lelaki termasuk seorang penjawat awam didakwa secara bersama di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan terlibat dalam kegiatan sabung ayam pada bulan lalu.

Kesemua tertuduh, Mohd Zin Kadir,74; Mohd Zin Ab Latif, 51; Noraizat Dzulkefli, 44; Ong Guan Tian, 77; Mohd Amirul Ashraf Sham Rahman Khan, 32; Ang Hock Bee, 70; dan Mohd Shahiram Mat Jizi, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, ketujuh-tujuh mereka didakwa hadir pada waktu pelagaan ayam di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Pok Jelak Bedal, Kuala Krai kira-kira pukul 6 petang pada 10 Sept lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 32(2) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fariz menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Ketujuh-tujuh mereka bagaimanapun merayu agar jaminan yang rendah ditawarkan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin setiap seorang. Hakim juga menetapkan tarikh 29 Nov depan bagi sebutan semula kes.

Lihat Komen
ADS