mk-logo
Berita
Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes samun, rogol pekerja asing
Diterbitkan:  Oct 14, 2021 7:39 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah masuk sebuah asrama pekerja asing, serta samun dan rogol seorang wanita di bilik asrama berkenaan di kawasan perumahan di Perai, di Bukit Mertajam Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan secara berasingan di kawasan Seberang Perai Tengah, di Bukit Mertajam semalam.

Beliau berkata berdasarkan laporan, wanita warga asing berkenaan dikatakan sedang tidur di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat yang dijadikan asrama pekerja asing itu, apabila dia dikejutkan oleh seorang lelaki yang masuk ke biliknya pada kira-kira pukul 4 pagi.

"Wanita itu mendakwa pintu biliknya itu berkunci, dan suspek yang bersenjatakan objek tajam meletakkan senjata itu di leher mangsa sebelum merogolnya dan mengambil wang RM299," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafee berkata berdasarkan pemeriksaan suspek dipercayai masuk ke dalam rumah itu dengan mengumpil pintu hadapan rumah dan bilik mangsa.

Katanya wanita itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut manakala dua lelaki dengan pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah yang ditahan itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 dan 376 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS