mk-logo
Berita
Lebih 200 syarikat terlibat beri latihan, kemahiran pada banduan
Diterbitkan:  Oct 14, 2021 1:55 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Lebih 200 syarikat dari pelbagai sektor terlibat dalam program Corporate Smart Internship sejak diperkenalkan penghujung 2016 bertujuan memberi latihan dan kemahiran kepada Orang Diparol (ODP) dan Orang Banduan Berlesen (OBB) dalam sektor pekerjaan yang diceburi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata usaha ini adalah langkah untuk memberi kesedaran masyarakat agar turut sama membantu pemulihan kepada banduan selain dapat mengurangkan kos kerajaan serta menurunkan lebihan kapasiti banduan di penjara.

Beliau berkata setakat 8 Okt, sebanyak 10,446 ODP dan 1,284 OBB menyertai program tersebut dengan ada dalam kalangan mereka telah diambil sebagai pekerja setelah bebas daripada penjara.

"Mereka yang dipilih adalah dikalangan mereka yang terlibat dengan jenayah kecil namun akan melalui pelbagai proses saringan sebelum diluluskan untuk mengikuti program tersebut," katanya pada sidang media selepas menghadiri program kolaborasi antara Penjara Malaysia dengan Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd di Shah Alam hari ini.

Katanya, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia yang terlibat dengaan program tersebut sejak 2019 mengambil 1,077 ODP dan 84 OBB dengan 20 orang daripada mereka telah diambil bekerja.

ODP dan OBB yang bekerja di syarikat tersebut turut menikmati kemudahan seperti asrama, pengangkutan, gaji minimum selaras ketetapan kerajaan, elaun kerja lebih masa, elaun makan, kemudahan kesihatan, uniform kerja dan insurans.

"Panasonic juga meminta menambah 379 orang lagi bagi program tersebut, dan saya meminta bahagian Parol hingga November ini untuk memberi syarikat tersebut 379 orang lagi secara berperingkat," katanya.

Katanya, selain syarikat tersebut, OBB dan ODP juga diberi peluang untuk menimba kemahiran di sektor lain termasuk perindustrian, perladangan, pembuatan dan perkhidmatan.

- Bernama

Paling Popular
Terkini