Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin beri taklimat Covid-19 pada wakil PH dalam mesyuarat MKN
Diterbitkan:  Oct 16, 2021 11:00 AM
Dikemaskini: 3:03 AM

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin telah memberikan taklimat tentang perkembangan terkini situasi pandemik Covid-19 kepada empat wakil Pakatan Harapan semalam.

Mesyuarat bersama itu susulan Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara kerajaan dan PH pada 13 September lalu.

Antara intipati mesyuarat tersebut adalah membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan juga isu bantuan kecemasan makanan.

Empat wakil PH yang menghadiri mesyuarat selama tiga jam tersebut ialah ahli parlimen Subang Wong Chen (PKR), ahli parlimen Stampin Chong Chieng Jen (DAP), ahli parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah) dan Bernard Dompok (Upko).

“Wakil PH telah mengemukakan pandangan dan cadangan dasar di dalam mesyuarat ini.

“PH akan meneruskan pendekatan dwipartisan dan memberi kritikan membina dan pendapat konstruktif demi memastikan usaha pemulihan negara dapat berjalan dengan lebih baik,” menurut PH dalam satu kenyataannya semalam.

Mesyuarat MPN yang seterusnya dijangka diadakan dalam masa dua minggu dari sekarang.

Pada Ogos lalu, dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama kemudiannya mengatakan mereka sedia mempertimbangkan pelawaan itu, asalkan ia dibuat dengan ikhlas bagi menangani pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

Menurut Majlis Presiden PH, penyertaan itu mestilah bukan sekadar tangkap muat atau menjadi 'rubber stamp' kepada pandangan kerajaan semata-mata.

Lihat Komen
ADS