Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan M'kini antara 10 dicalonkan bagi Anugerah Wartawan Muda
Diterbitkan:  Oct 16, 2021 11:37 AM
Dikemaskini: 5:41 AM

Wartawan Malaysiakini, Wong Kai Hui disenarai pendek antara 10 wartawan  untuk dicalonkan bagi Anugerah Wartawan Muda Yayasan Thomson yang berprestij.

Anugerah ini bagi menghargai peranan wartawan dalam menghasilkan laporan bersifat pendedahan, yang mendorong perbahasan awam dan membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Antara laporan Wong yang dipertimbangkan bagi anugerah itu adalah laporan berkaitan penglibatan kerabat diraja Pahang dalam pembinaan kemudahan pelupusan  tetap (PDF) Lynas di Bukit Ketam, Kuantan.

Berikutan laporan tersebut, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah melepaskan 50 peratus pegangannya dalam syarikat yang ditugaskan untuk melaksanakan pembinaan PDF berkenaan.

Jabatan Alam Sekitar juga telah meminta Lynas untuk mencari tapak baru di mana tapak asal terletak di kawasan tadahan air yang awalnya dinafikan oleh firma Australia berkenaan.

Laporan lain yang dihasilkan Wong dan diketengahkan bagi anugerah itu termasuk laporan mengenai projek perlombongan di hutan simpan di Kuala Tembeling, Jerantut.

Kawasan itu dinyahwartakan untuk projek tersebut dan turut dihubungkaitkan dengan kerabat diraja Pahang.

Wong juga menghasilkan laporan mengenai komuniti terpinggir, termasuk perjuangan komuniti transgender.

Calon wartawan lain yang tersenarai bagi anugerah itu termasuk Carmen Valeria Escobar Catillo (El Salvador), Parth Nikhil (India), Samad Uthman (Nigeria), Shrouk Ghonim (Mesir), Daniel Lutaaya (Uganda), Tatiana Pardo Ibarra (Colombia), Md Ibrahim Khalilullah (Bangladesh), Mahima Jain (India) dan Zuha Siddiqui (Pakistan).

Tiga finalis akan dipilih oleh panel hakim bebas dari Foreign Press Association United Kingdom.

Anugerah ini ditujukan kepada wartawan berusia 30 tahun ke bawah di negara-negara yang sedang membangun.

Lihat Komen
ADS