Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak lengkap vaksinasi, 6 kenderaan cuba rentas negeri diarah patah balik

Urusan perniagaan, menghantar barang dan melawat ahli keluarga sakit antara alasan diberikan oleh pemandu dan penumpang kenderaan yang tidak lengkap dua dos vaksin Covid-19 untuk merentas negeri menggunakan laluan Gerik-Jeli pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebanyak enam kenderaan yang cuba merentas negeri melalui sekatan jalan raya di Kilometer 9 Lebuhraya Timur Barat (LRTB) di Sungai Lebey, Gerik ke arah Kelantan dan Kedah diarah berpatah balik dan tidak dibenarkan merentas negeri.

"Kenderaan yang diarah berpatah balik termasuklah sebuah lori yang (pemandunya) memberikan alasan untuk menghantar barang namun pemeriksaan dilakukan anggota mendapati penumpang atau kelindan tidak lengkap dua dos vaksin," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Mior berkata hasil pemantauan pihak polis mendapati keadaan lalu lintas sepanjang jalan berkenaan berjalan dengan lancar dan terkawal serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku sejak Jumaat lepas setakat ini.

"Gambar kesesakan yang ditularkan berlaku pada kira-kira pukul empat petang Jumaat lepas di laluan LRTB Gerik-Jeli menghala ke Kelantan dalam jarak 1.5 kilometer tidak berlaku terlalu lama.

Kesesakan berlaku apabila orang ramai mengambil peluang bercuti panjang dan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul mulai Jumaat hingga Selasa ini untuk ke Kelantan," katanya.

Katanya petugas di sekatan jalan raya di laluan berkenaan turut melakukan pemeriksaan secara teliti kepada para pemandu dan penumpang kenderaan yang hendak merentas negeri.

-Bernama

Lihat Komen
ADS