Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya guna 4 jenis jin vaksin' - sindir KJ lepas dituduh pakai tangkal
Diterbitkan:  Oct 17, 2021 10:35 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi balasan sinis terhadap mesej - dipercayai daripada kumpulan antivaksin - yang mendakwa dia menggunakan jin untuk melindungi diri menerusi tangkal yang dipakainya.

“Salah. Saya guna empat jenis jin vaksin untuk lindungi Malaysia. Jin Pfizer, AstraZeneca, Sinovac dan CanSino,” jawabnya di Instagram Stories hari ini.

Dalam hantaran itu, dia turut memuat naik tangkap layar apa yang kelihatan seperti perbualan dalam kumpulan Telegram di kalangan mereka yang menolak vaksinasi.

Salah satu tangkap layar menunjukkan perbualan seorang individu yang mendakwa Khairy menggunakan “empat jenis jin setan” untuk melindungi dirinya, menerusi tangkal yang dipakai di tangan kiri.

Satu lagi tangkap layar menunjukkan pesanan yang menggesa bacaan qunut nazilah terhadap Khairy dan “sekutunya”.

Tangkap layar kedua itu diiringi kata-kata Khairy: “Antivaksin semakin menggiatkan taktik mereka (anti-vaxxers stepping up their game)".

Semalam, Khairy berkata kerajaan akan “menyusahkan” hidup golongan yang memilih untuk tidak menerima vaksin Covid-19.

“Mungkin berbunyi sedikit kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin,” katanya.

Setakat ini, kerajaan belum mewajibkan vaksinasi Covid-19 secara menyeluruh, tetapi ia telah diwajibkan untuk sektor-sektor tertentu.

Ia termasuk bagi kakitangan perkhidmatan awam di mana mereka yang menolak tanpa sebarang faktor perubatan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Susulan kenyataan itu, Khairy menerima kritikan antaranya daripada Ketua Pembangkan Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju dengan pendekatan itu yang disifatkannya sebagai “paksaan” dan “sombong”.

Lihat Komen
ADS