Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH: K'jaan mesti tetapkan strategi jelas pemberian dos ketiga, penggalak
Diterbitkan:  Oct 18, 2021 11:46 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi penjelasan berhubung strategi menyeluruh mengenai pelaksanaan pemberian dos ketiga dan suntikan penggalak Covid-19 untuk golongan memerlukan.

"Kebanyakan daripada infeksi-infeksi baru ini adalah dari kalangan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dengan kadar imunisasi yang berkurangan, ‘immunosuppression’, dan gejala kesihatan yang sedia ada.

"Atas fakta-fakta ini, kerajaan Persekutuan harus menetapkan kriteria dan strategi implementasi yang jelas untuk memastikan kelancaran terutamanya apabila dijangkakan 8.75 juta rakyat yang akan menerima dos ketiga atau dos penggalak ini.

"Oleh itu program pelancaran haruslah dipelan dengan teratur, spesifik dan dikoordinasi dengan baik di kalangan semua yang terlibat termasuk Pengamal Perubatan Am swasta yang ditugas untuk mengendalikan suntikan penggalak bagi semua petugas barisan hadapan dan warga emas," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, jawatankuasa tersebut turut menimbulkan kebimbangan mengenai kurangnya penglibatan, seperti yang dijelaskan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), dari jabatan kesihatan negeri mengenai pelancaran program penguat dan vaksin dos ketiga.

Namun begitu, jawatankuasa terbabit berkata semua pihak harus berhati-hati dengan kenyataan rasmi Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) yang menyatakan bahawa belum terdapat penglibatan yang betul dari jabatan kesihatan negeri yang masih 'sepi' dalam program dos ketiga dan suntikan penggalak ini.

"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita harus mempelajari dari kesilapan lepas termasuk penglibatan Pengamal Am swasta pada minit-minit terakhir," kata jawatankuasa itu .

Oleh itu mereka menyeru pihak Kementerian Kesihatan supaya memperjelaskan strategi mereka termasuk:

- Jangka Masa yang jelas implementasi ke seluruh negara

- Definisi dan kategori yang jelas kelayakan untuk dos ketiga dan suntikan penggalak

- Strategi usaha mendidik kepentingan dos tambahan kepada semua yang layak dan memastikan tiada yang ketinggalan dalam program pelancaran ini

- Melibatkan Pengamal Am di peringkat awal dan menyediakan strategi pelancaran yang jelas untuk memastikan program pelan dos ketiga dan vaksin penggalak ini adalah pantas dan efisien

- Meluluskan vaksin heterologi dengan dos penggalak secepat mungkin, berdasarkankepada data global yang nyata.

September lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM sedang menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19, dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Menurutnya, Sarawak akan menjadi negeri pertama memulakan program pemberian dos penggalak vaksin kerana ia merupakan negeri terawal menyelesaikan program vaksinasi.

"Dos tambahan" merujuk kepada dos yang diberi kepada mereka yang tidak memberikan respons imun yang memadai setelah menerima dos vaksin yang standard.

Ia berbeza dengan "dos penggalak" yang diberi kepada kalangan yang sudah memberikan respons imun yang cukup tetapi dengan perlindungan terhadap virus yang berkurang setelah satu sela masa.

Sarawak memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 lima hari lalu, sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan.

Lihat Komen
ADS