Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR: Lengkap vaksinasi tak termasuk syarat mengundi pada PRN Melaka
Diterbitkan:  Oct 18, 2021 4:04 PM
Dikemaskini: 11:56 AM

Nota editor: Versi awal laporan ini memetik pengerusi SPR berdasarkan laporan agensi Bernama. Bernama telah membuat pembetulan selepas pengerusi SPR mengeluarkan kenyataan media. Laporan ini dipinda berdasarkan perubahan tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya tidak akan mengenakan syarat wajib vaksinasi lengkap terhadap pengundi dalam PRN Melaka akan datang.

Dalam kenyataan petang ini, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh menafikan laporan yang menyebut tentang syarat itu.

Pada jam 2.30 tengah hari tadi, agensi berita Bernama memetik Abdul Ghani sebagai berkata: "SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat seperti dah lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Justeru kita merayu agar semua pengundi lengkapkan vaksin dahulu.. kita ada masa lagi."

Versi pembetulan bagi petikan itu pada 7.07 petang adalah seperti berikut: "SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat vaksin, memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal dan sebagainya."

Abdul Ghani berkata demikian ketika bercakap dengan pemberita selepas mengumumkan tarikh pilihan raya, di Melaka hari ini.

Definisi kerajaan mengenai "lengkap vaksin sepenuhnya" adalah 14 hari selepas dos kedua untuk vaksin jenis dua dos dan 28 hari selepas dos vaksin jenis satu dos.

Menurut data Kementerian Kesihatan, 104.8 peratus populasi dewasa Melaka sudah "divaksinasi sepenuhnya". Angka itu kemungkinan anggaran yang berlebihan kerana Kementerian Kesihatan bergantung pada data penduduk dari banci 2010.

Pilihan raya akan diadakan pada 20 November.

Perubahan penting lain untuk pilihan raya akan datang ini, kata Abdul Ghani, adalah "slot waktu yang disyorkan" untuk mengurangkan kesesakan.

"Kita akan beri cadangan masa keluar mengundi melalui sistem kita seperti yang digunakan di aplikasi MySejahtera. Pengundi juga usah keluar mengundi serentak pada sebelah pagi. Kalau boleh, warga emas sebelah pagi dan tengah hari sikit untuk orang muda," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani mengatakan daftar pengundi yang diperbaharui pada Q2 2021 akan digunakan untuk pilihan raya ini.

Dia mengatakan bahawa SPR menjangkakan 70 peratus akan keluar mengundi.

Dalam siaran langsung sidang media hari ini, Abdul Ghani juga tersilap menyatakan tarikh mengundi ditetapkan pada 28 November, berbanding kenyataan media yang menyatakan tarikh 20 November.

Lihat Komen
ADS