Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Peruntukan kesihatan yang komprehensif dalam Belanjawan 2022

Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) menyeru kerajaan untuk memberi peruntukan yang lebih besar bagi sektor kesihatan dalam Belanjawan 2022. Ini adalah penting untuk menguruskan Covid-19, membentuk populasi sihat dan bersiap sedia untuk menghadapi pandemik yang akan datang serta pada masa yang sama, melabur dalam bidang kesihatan untuk menjana pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu, kami menyeru perkara-perkara yang berikut:

  1. Menetapkan 4% daripada KDNK kepada sistem kesihatan awam

Saban tahun, Malaysia kurang menekankan pelaburan dalam sektor kesihatan. Belanjawan 2021 hanya memperuntukkan 2.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk sistem kesihatan awam. Dalam Belanjawan 2022, kerajaan mesti memperuntukkan sekurang-kurangnya 4% daripada KDNK untuk sistem kesihatan awam, selaras dengan peruntukan secara purata 3.8% daripada KDNK dalam sistem kesihatan awam oleh negara-negara berpendapatan menengah atas lain. Peningkatan ini mesti diiringi dengan sistem pengawasan ketat terhadap perolehan untuk mengelakkan rasuah dan ketidakcekapan tadbirurus. Dana tambahan ini perlu untuk peralihan kepada strategi pengurusan Covid-19 jangka panjang dari segi program vaksinasi, pengendalian beban kesihatan dan pengawasan kesihatan awam. Dana yang mencukupi juga akan membantu menimbal balik penjagaan kesihatan selain Covid-19, termasuk pelaksanaan lebih 57,000 prosedur yang tertunda, kawalan penyakit tidak berjangkit, beban kesihatan mental serta rawatan pencegahan. Tumpuan juga harus diberikan kepada masalah penjawatan dan pemulihan semangat kerja semua petugas kesihatan dalam perkhidmatan awam, di dalam semua fasiliti kesihatan untuk Kementerian Kesihatan, Pendidikan Tinggi dan Pertahanan. Peruntukan kesihatan mesti ditingkatkan secara berterusan untuk 3-5 tahun yang akan datang.

  1. Memperuntukkan secukupnya untuk pembangunan kesihatan jangka panjang

Reformasi sistem kesihatan yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 memerlukan komitmen kewangan yang sangat besar. Oleh itu, perancangan peruntukan perbelanjaan untuk tahun 2022 dan seterusnya harus mengambil kira misi jangka masa panjang. Oleh itu, Perbelanjaan Pembangunan (Devex) wajar ditetapkan setara dengan Perbelanjaan Operasi (Opex). Pelaburan Devex yang sewajarnya akan membantu menjana peluang kerja dan pengambilan pekerja di samping menstabilkan pertumbuhan ekonomi. Trend peningkatan nisbah Devex:Opex untuk kesihatan dalam Belanjawan 2019 hingga 2021 adalah menggalakkan dan harus diteruskan. Secara khususnya, kami mencadangkan dua skop perbelanjaan Devex. Pertama, kami mencadangkan pengukuhan infrastruktur penjagaan kesihatan primer and kesihatan awam dari segi fizikal, modal insan dan rekod kesihatan elektronik. Kedua, kami mencadangkan sistem pembiayaan kesihatan yang diperluaskan melalui Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) kerana golongan ini lebih terkesan oleh pandemik Covid-19.

  1. Menangani faktor-faktor lain yang mempengaruhi kesihatan awam

Faktor sosial seperti suasana pekerjaan, kadar pendapatan dan keadaan hidup memberi impak kepada kesihatan awam. Oleh itu, kami menyeru kerajaan untuk memberi peruntukan besar bagi meningkatkan literasi kesihatan, memperluas jaringan keselamatan sosial untuk golongan terabai serta meningkatkan kondisi kerja dan tempat tinggal. Secara khususnya, kami mencadangkan pelaburan dalam dua inisiatif di luar skop kesihatan. Pertama, meningkatkan sistem pengudaraan dalaman di Malaysia melalui kod bangunan baru, insentif untuk pengubahsuaian bangunan, dan langkah-langkah untuk meningkatkan kualiti udara dalaman seperti kredit cukai untuk kawalan tahap karbon dioksida atau pengudaraan mekanikal. Kedua, kami mencadangkan pengukuhan jaringan kesejahteraan sosial melalui langkah seperti pemberian wang tunai terus atau bersyarat, penyelarasan program kesejahteraan masyarakat dan membasmi kemiskinan daripada pelbagai dimensi.

Peruntukan belanjawan yang sewajarnya adalah sangat penting untuk mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam pasca pandemik di Malaysia. Kami mengharapkan Belanjawan 2022 yang utuh dan telus untuk kesihatan.

GABUNGAN KESIHATAN MALAYSIA
(Senarai penuh tandatangan di myhealthcoalition.org)


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS