Pihak pertikai kaedah kiraan ekuiti terus dihentam
Perwakilan di perhimpunan agung Umno hari ini terus menghentam pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) yang cuba memecahkan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama dalam perlembagaan negara.
Perwakilan di perhimpunan agung Umno hari ini terus menghentam pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) yang cuba memecahkan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama dalam perlembagaan negara.
Exco Pemuda Umno, Datuk Reezal Marican Naina Marican menyifatkan tindakan seorang menteri kabinet mempertikaikan kaedah kiraan ekukiti bumiputera yang digunapakai oleh kerajaan, sebagai tindakan yang tidak boleh diterima.
"Paling mendukacitakan apabila pemimpin BN sendiri mempersoalkan kaedah kerajaan. Dia bukan saja duduk dalam kabinet tetapi menjadi anggota dewan tertinggi BN," katanya ketika membahaskan isu ekonomi di perhimpunan agung Umno hari ini.
Reezal yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, menteri tersebut bukan sahaja menyindir kaedah kiraan itu malah turut mengandaikan kerajaan berbohong.
"Tindakan beliau itu amat mendukacitakan, kita harap kerajaan tidak layan golongan seperti ini," ujarnya.
Beliau turut mengkritik kajian penguasaan ekonomi bumiputera yang dijalankan oleh Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (Asli) yang mendakwa pegangan ekuiti bumiputera telah melebihi 40 peratus.
Kajian Asli
"Kajian Asli itu memutarbelitkan statistik dengan agenda untuk mengubah kontrak sosial yang telah dipersetujui selama ini. Ia suatu yang prejudis dan mereka sebenarnya mahukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditamatkan segera," tambahnya.
Beliau menegaskan, angka-angka sebenar masih menunjukkan bumiputera jauh ketinggalan berbanding kaum lain.
Dari segi pendapatan, nisbah antara bumiputera dengan bukan bumiputera ialah RM1:RM1.6. Pegangan hartanah pula menunjukkan penguasaan bumiputera baru 12 peratus dan ekuiti masih 18.9 peratus.
Di kalangan bumiputera pula, baru 47 peratus menjadi profesional, 77 peratus di kalangan orang China dan 69 peratus bagi India.
Reezal juga berkata, akibat ketirisan dalam DEB, kira-kira 80 peratus faedah dari dasar itu dinekmati oleh bukan bumiputera manakala bumiputera hanya dapat 20 peratus sahaja.
"Ini berlaku kerana bukan bumiputera menguasai bidang ekonomi, umpamanya dalam bidang hartanah, bukan bumiputera membentuk kartel membekal bahan binaan. Bila bahan binaan terpaksa dibeli dari mereka, ini bererti sebahagian besar dari faedah projek dinikmati oleh kartel tersebut.
"Oleh itu saya mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah syarikat khas milik kerajaan ditubuhkan untuk memecah monopoli kartel bukan bumiputera itu," tambahnya.
Beliau juga mencadangkan Unit Penyertaan Bumiputera ditubuhkan di setiap kementerian bagi memantau dan melaksanakan pengagihan projek kepada bumiputera.

