Kritikan terhadap bukan Melayu tidak jejas BN, kata Hisham
Kritikan pedas pembahas terhadap bukan Melayu pada perhimpunan agung Umno tidak akan menjejaskan hubungan erat yang sedia terjalin antara parti komponen Barisan Nasional (BN).
Kritikan pedas pembahas terhadap bukan Melayu pada perhimpunan agung Umno tidak akan menjejaskan hubungan erat yang sedia terjalin antara parti komponen Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kritikan
pedas dalam persidangan adalah biasa kerana perwakilan menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan hasrat kaum Melayu.
"Ini adalah biasa. Mereka ada tugas untuk dibuat, kita ada tugas yang perlu dibuat. Tetapi perkara pokoknya ialah niat dan objektif kita," katanya selepas melancarkan Buletin Putera Umno sempena perhimpunan kali ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai semalam yang dilaporkan berkata pergerakan itu kecewa dengan kritikan pedas pembahas terhadap beberapa pemimpin MCA, Gerakan dan MIC, dan meminta perwakilan menarik balik kenyataan mereka.
Mengenai buletin yang dilancarkan hari ini, Hishammuddin berkata ia penting untuk menyampaikan maklumat tentang aktiviti Putera Umno kepada anggotanya yang terdiri daripada remaja dan belia, berusia 15 hingga 25 tahun.
Minah rempit
Hishammuddin juga memuji usaha Putera Umno, selaku biro di bawah pergerakan Pemuda Umno, mendekati golongan "mat rempit" dan kini mahu bekerjasama dengan Puteri Umno untuk mendekati golongan "minah rempit".
Turut hadir pada majlis pelancaran buletin itu ialah Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Abdul Azeez berkata sebagai permulaan sebanyak 10,000 naskhah buletin, yang akan diterbitkan setiap tiga bulan sekali itu, telah dicetak dan akan diedarkan ke setiap bahagian Pemuda Umno.
Mengulas mengenai aktiviti Putera Umno, beliau berkata biro itu telah berjaya mendaftarkan 15,000 mat rempit sebagai anggotanya sejak 11 minggu lepas.
Daripada jumlah itu, 8,000 anggota Putera telah mendaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.