Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hasbie Muda dipilih sebagai ketua Pemuda Amanah
Diterbitkan:  Oct 23, 2021 5:23 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Bekas ketua Pemuda Amanah Terengganu Hasbie Muda dilantik sebagai Ketua Pemuda Amanah Nasional.

Pemilihan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional bagi menggantikan penyandang terdahulu Allahyarham Shazni Munir Mohd Ithnin.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah pula akan digalas oleh Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan

"Dengan pengumuman ini, diharap Pemuda Amanah dapat terus memacu agenda kepemudaan dan bersiap-siaga menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15," kata speaker Pemuda Amanah Noorazmir Zakaria dalam kenyataan media.

Perkembangan itu turut dikongsi oleh AJK Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah, Syazmir Hariz Noorazlan dalam satu catatan petang ini.

"Kini amanah ini (jawatan ketua Pemuda Amanah) dipikul oleh Hasbie pula. Hasbie merupakan antara pemuda yang pernah bersama PAS satu ketika dahulu dan menubuhkan Amanah.

"...Bukanlah baru dalam politik, beliau mula bergiat aktif dalam perjuangan apabila menyertai pelbagai demonstrasi mewakili mahasiswa.

"Memandangkan beliau merupakan penuntut di Universiti Malaya, aura perjuangannya sering ditiupkan hari demi hari.

"Boleh diamati perjuangan dan aspirasinya sebagai mahasiswa dalam buku yang beliau sunting iaitu ‘Mahasiswa Bangkit’," katanya.

Untuk rekod, Shazni meninggal dunia pada 6 Ogos lalu selepas beberapa minggu dijangkiti Covid-19.

Allahyarham Shazni, 34, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Lihat Komen
ADS