Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim: Saya tolak tawaran menteri oleh MCA demi platform pelbagai kaum
Diterbitkan:  Oct 25, 2021 11:24 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata dia pernah menolak tawaran MCA untuk menjadi menteri atas dasar enggan meninggalkan platform pelbagai kaum yang dibawa partinya.

"Saya masih ingat, meskipun idea untuk menjadi seorang menteri pada usia 30 tahun amat menggiurkan, saya tidak teragak-agak untuk menolak cadangan MCA menerusi mantan presidennya, Tun Tan Siew Sin untuk DAP dibubarkan dan kemudiannya menyertai MCA bagi membentuk perpaduan kaum Cina, kerana kita bukan sahaja orang Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, kita pertamanya dan terutamanya adalah rakyat Malaysia," katanya.

Dia membangkitkan rekodnya sebagai anggota parlimen selama tiga penggal untuk Bandar Melaka (kemudian menjadi Kota Melaka) dari 1969-1986, dan juga anaknya, Lim Guan Eng, yang wakili kawasan parlimen itu selepas menang pilihan raya pada 1986.

Kit Siang, yang kini ahli parlimen Iskandar Puteri, mendakwa anaknya adalah ahli parlimen Malaysia pertama yang pernah dipenjarakan dan mengorbankan kedudukan sebagai ahli parlimen kerana memperjuangkan hak seorang warga daripada kaum lain.

"Dia meneruskan perjuangan DAP untuk semua rakyat, sehingga diheret ke tirai besi dan dilucutkan jawatan sebagai ahli parlimen kerana memperjuangkan hak seorang gadis Melayu bawah umur - kerana DAP komited terhadap kesejahteraan dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau kawasan," katanya lagi.

Walaupun menjadi parti berbilang kaum, sebahagian gesar kepimpinan DAP adalah daripada masyarakat Cina. Hanya seorang daripada 42 ahli parlimen parti itu adalah orang Melayu iaitu Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dari Raub.

Mengimbas kembali pentadbiran PH, Lim berkata gabungan itu telah melakukan kesilapan ketika mentadbir negara selama 22 bulan dan PRN Melaka yang akan diadakan merupakan peluang untuk membuat penilaian semula.

Bercakap ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya DAP Melaka semalam, dia berkata pendirian parti itu untuk memperjuangkan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama mesti menjadi teras perjuangan dalam PRN ini.

"Petugas DAP Melaka untuk PRN tidak harus bekerja untuk masa depan Melaka sahaja, tetapi harus bekerja untuk membentuk Malaysia yang lebih baik," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan persekutuan PH ditumbangkan sebelum ia mendapat momentum yang cukup untuk melakukan perubahan, dan pemimpin dan ahli gabungan itu mesti kekal bersikap "rendah hati dan sederhana" dalam kempen PRN bagi mengembalikan semula keyakinan dan harapan untuk negara.

PRN Melaka akan dilaksanakan pada 20 Nov dengan penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

DAP memegang tujuh kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, kurang satu kerusi daripada jumlah yang dimenangi dalam PRU lalu selepas Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee bertindak keluar parti - yang membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri PH.

Ironinya, Norhizam juga menjadi punca utama kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disertainya, apabila bersama-sama tiga Adun lagi menarik balik sokongannya awal bulan ini, sehingga membawa kepada pembubaran DUN.

Lihat Komen
ADS