Isu hubungan Malaysia-Singapura turut mendapat perhatian persidangan Umno dan kali ini seorang pembahas meminta kerajaan jangan memberi muka lagi kepada republik itu.

Wakil badan perhubungan Umno Melaka, Datuk Idris Harun bertanya mengapa kerajaan masih mahu berbaik-baik dengan republik yang tidak tahu menghormati perasaan jirannya.

"Mengapa masih nak mengadap Singapura. Pemimpin mereka mengutuk kita. Lee Kuan Yew tuduh kita meminggirkan kaum Cina," katanya ketika membahaskan isu ekonomi di persidangan Umno yang masuk hari ketiga hari ini.

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan memastikan projek-projek strategik tidak jatuh ke tangan pelabur asing, khususnya Singapura.

Katanya, kerajaan harus belajar dari pengalaman Thailand di mana apabila Perdana Menterinya menjual syarikat telekomunikasinya kepada Singapura, beliau akhirnya digulingkan.

Pelabur Singapura

"Kita dengar satu perkhidmatan telekomunikasi terbaru yang mampu memantau aliran panggilan telefon dan mesej dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dilancarkan tidak lama lagi dan mengikut laporan akhbar, kemungkinan besar projek itu akan diberi atau dikongsi dengan pelabur Singapura,"jelasnya.

Idris yang merupakan ahli Parlimen Tangga Batu, Melaka berharap Kementerian Tenaga, air dann Telekomunikas memastikan projek ini dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia bagi menjaga kepentingan dan rahsia negara.

Beliau juga berkata sudah sampai masanya para pemimpin Singapura diingatkan bahawa pulau itu dahulunya dijumpai oleh orang Melayu, bukan oleh kaum lain atau penjajah.

"Lee Kuan Yew nampaknya cuba mengubah sejarah," ujarnya.