Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan Rosmah batal bicara kes rasuah, gugurkan Sri Ram didengar 15 Nov
Diterbitkan:  Oct 25, 2021 2:25 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 15 Nov.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah berkata tarikh pendengaran itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mohd Khair Haron semasa pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

“Tarikh pendengaran itu ditetapkan setelah perayu (Rosmah) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 24 Sept lepas,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Prosiding hari ini disertai Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn dan Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah.

Pada 4 Okt lepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya sementara rayuan itu diputuskan.

Susulan keputusan tersebut, Rosmah, 69, telah memberi keterangan membela diri pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi pada 5 Okt dan akan bersambung pada 8 Dis.

Rosmah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Mei lepas untuk membatalkan keseluruhan perbicaraannya, dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama.

Rosmah memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lepas membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pihak pendakwaan bersetuju untuk menyerahkan kepada pihak pembelaan.

Rayuan itu beliau kemukakan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya berhubung surat pelantikan Sri Ram, pada 19 Ogos tahun lepas.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

- Bernama

Lihat Komen