mk-logo
Berita
Beberapa pemimpin bakal adakan kerjasama dengan Warisan
Diterbitkan:  Oct 26, 2021 8:17 PM
Dikemaskini: 12:17 PM

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata beberapa pemimpin politik sudah menyatakan hasrat mereka untuk membentuk kerjasama dengan Parti Warisan - yang setakat ini berpangkalan di Sabah.

Kata Mohd Shafie, antara pemimpin yang bertemu dengannya ialah presiden penaja Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga bekas menteri belia dan sukan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Mohd Shafie, kerjasama dengan Muda adalah penting memandangkan anak-anak muda turut mempunyai kebolehan dan keupayaan masing-masing untuk memimpin negara.

Bagaimanapun menurut bekas ketua menteri Sabah itu, kerjasama tersebut belum dilancarkan secara rasmi.

"Cuma setakat ini saya ada perbincangan dengan rakan saya, Syed Saddiq, dan beberapa pimpinan sudahpun bertemu dengan saya di beberapa tempat untuk menyatakan hasrat mereka tentang kesediaan untuk menyertai (kerjasama dengan) Parti Warisan," katanya di Kuala Lumpur.

Terdahulu Mohd Shafie menghadiri majlis perbincangan mengenai isu ekonomi bumiputera Sabah dan Semenanjung Malaysia serta kesan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Kata ahli parlimen Semporna itu langkah kerjasama tersebut memang perlu diteliti secara mendalam namun yang lebih penting ia menyediakan landasan untuk pemimpin terbabit menawarkan perkhidmatan kepada para pengundi.

“Ini yang penting kepada kita. Kita tak nak nanti dia nak (jadi) calon lepas tu dia jual, lompat sana lompat sini,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Shafie enggan mendedahkan "pemimpin lain" yang dimaksudkannya itu dan bakal turut serta menyertai kerjasama dengan Warisan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sebelum ini Warisan memang sudah menyatakan minat mereka untuk melebarkan langkahnya sehingga melepasi Laut China Selatan dalam PRU ke-15 yang perlu diadakan selewat-lewatnya 2023.

Bagaimanapun salah seorang pemimpin Warisan menyatakan, mereka tidak bercadang untuk meletakkan calon di semua 222 kerusi parlimen. 

Menurut Mohd Shafie, perlu diwujudkan jalinan kerjasama di antara parti di Semenanjung Malaysia dan Sabah kerana menyedari realiti politik yang tidak memungkinkan langkah itu diambil secara bersendirian.

“Kena ada rakan yang kita yakin, yang ada keupayaan mereka,” katanya.

Menyentuh mengenai isu kematangan anak muda, Mohd Shafie mengaitkan isu Undi18 yang dianggap sesetengah pihak sebagai usi terlalu muda undi mengundi.

“Macam mana kita tau tak matang?" katanya.

Tambah Mohd Shafie kematangan itu akan hadir apabila pengundi muda diberi peranan untuk memilih kerajaan dan pemimpin negara.

Pada April lalu, Syed Saddiq pernah berkata dia akan membuat pengumuman berhubung desas-desus partinya itu akan bergabung dengan Warisan tidak lama lagi.

Namun, dia tidak menyatakan secara jelas bila pengumuman itu akan dibuat. 

Lihat Komen
ADS