Kumpulan hak asasi tolak IPCC, mahu IPCMC yang diperkenalkan PH
Beberapa kumpulan hak asasi manusia menggesa ahli-ahli parlimen menolak Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang akan dibentangkan di Parlimen, akan datang.
Amnesty International Malaysia, Artikel 19, Civicus: World Alliance for Citizen Participation, dan Human Rights Watch dalam kenyataan berkata rang undang-undang itu melemahkan lagi mekanisme pengawasan sedia ada.
Mereka mencadangkan ahli parlimen memberi tumpuan kepada penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), rang undang-undang yang diperkenalkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Rang undang-undang itu gagal menangani kebimbangan awam tentang salah laku polis, penyalahgunaan kuasa yang berterusan terhadap pengkritik kerajaan, dan kematian dalam tahanan.
“Sekiranya diluluskan, rang undang-undang itu tidak akan dilaksanakan seperti mana yang dinyatakan kerajaan, iaitu menggalakkan akauntabiliti. Sebaliknya melindungi pegawai polis daripada penelitian dan pengawasan bebas,” kata kumpulan itu.
Kata mereka, badan pengawasan yang lebih baik diperlukan kerana negara kini mempunyai sejarah lampau berhubung kes penderaan oleh pihak berkuasa polis.
Mereka membangkitkan beberapa contoh kes kematian dalam tahanan, termasuk kematian A Ganapathy.
Tambah kumpulan terbabit, dakwaan rasuah, salah guna kuasa, dan kaitan dengan unsur jenayah juga merupakan salah laku polis yang telah dibangkitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Justeru, kata mereka IPCC bukanlah satu langkah ke arah akauntabiliti polis tetapi hanya melemahkan lagi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedia ada.
Menurut kumpulan itu lagi, antara kebimbangan utama rang undang-undang tersebut adalah IPCC tidak diberikan kuasa menggeledah dan menyita semasa penyiasatan, hanya mempunyai kuasa terhad untuk memaksa dokumen, dan tiada peruntukan pendengaran.
Tambah mereka, IPCC akan memerlukan penyiasat untuk mengemukakan notis awal untuk lawatan tapak, memberikan kuasa penyiasatan terhad kepada pesuruhjaya, dan menekankan proses pelantikan tidak jelas dan tidak mempunyai kebebasan.
Cadangan penubuhan suruhanjaya itu kata mereka bukanlah sesuatu yang baharu, kerana IPCMC pertama kali dicadangkan pada tahun 2005 sebagai sebahagian daripada 125 syor yang dibuat oleh Suruhanjaya Di Raja Untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan PDRM yang dipengerusikan Tun Mohammad Dzaiddin Abdullah.
“Namun, selepas 16 tahun Malaysia nampaknya semakin jauh daripada semangat sebenar reformasi pasukan polis itu,” kata kumpulan itu.
Oleh demikian, mereka menggesa kerajaan menggugurkan rang undang-undang IPCC dan segera membentangkan rang undang-undang IPCMC.
“Malaysia memerlukan badan pengawasan bebas yang benar-benar bebas dan tidak berat sebelah daripada negara dan polis, untuk mengelakkan konflik kepentingan.
"Untuk menjadi ianya berkesan, badan penyelia mesti memiliki kuasa dan tanggungjawab sebenar untuk menyiasat dan mengambil tindakan konkrit terhadap pegawai polis yang bertanggungjawab atas penderaan serius," kata kumpulan itu.
TAMAT

