Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muda umum tanding PRN Melaka
Diterbitkan:  Oct 27, 2021 2:26 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengumumkan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, pada 20 November ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu kini dalam proses rundingan dengan parti dari blok pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) bagi pengagihan kerusi.

"Muda telah buat pendirian tetap untuk bertanding pada pilihan raya negeri ini. Kita akan berunding dengan parti-parti pembangkang dan akan mengumumkan perkara ini bersama selepas tempoh rundingan tamat.

"(Soal pembahagian kerusi) kita akan runding bersama dengan blok pembangkang dan akan diumumkan bersama selepas ini," katanya dalam sidang media," katanya pada sidang media di Bangunan Merah, Stadthuys, Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut penyertaan Muda pada PRN Melaka kali ini, Syed Saddiq berkata ketetapan itu diambil partinya kerana mahu mencetuskan budaya politik baru di negeri Melaka.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita cetuskan budaya politik yang baru, politik yang bermaruah, politik yang berintegriti dan untuk kita membugarkan semula politik di Malaysia.

"Politik (sedia ada di Malaysia) tidak boleh bersandarkan politik jawatan, politik wang dan politik pangkat semata-mata dan zaman di mana perebutan kuasa mengawal politik di Malaysia sudah tamat.

"Kita perlu hantar mesej yang jelas melalui pilihan raya negeri ini bahawa politik katak melompat tidak berintegriti, tidak bermaruah harus ditolak secara jelas," katanya.

Oleh yang demikian, menurut Ahli Parlimen Muar itu penyertaan Muda pada PRN Melaka kali ini akan membawa mesej yang jelas kepada rakyat mengapa pilihan raya negeri ini berlaku.

"Pilihan raya ini berlaku kerana perebutan kuasa dikalangan politik elit. Umno tikam Umno dan Umno juga yang ingin bubarkan DUN (Dewan Undangan Negeri) ditengah-tengah pandemik, yang akhirnya mengakibatkan rakyat perlu membayar RM46 juta untuk membiayai PRN ini hanya kerana perebutan kuasa di kalangan politik elit.

"Tetapi dalam masa yang sama tidak cukup hanya menuding jari kepada pihak Umno semata-mata. Pada masa yang sama pihak pembangkang perlu jelas untuk menolak sesiapa saja katak-katak politik ini yang tidak mencerminkan budaya politik bermaruah dan berintegriti di Malaysia," katanya.

Kata Syed Saddiq, penyertaan Muda pada PRN Melaka juga adalah untuk menghantar mesej yang jelas bahawa rakyat mahukan perubahan dan orang Melaka berhak mendapatkan kepimpinan baru yang lebih baik.

"Kalau sekadar jadi katak, melompat kerana mengidamkan jawatan ketua menteri, itu bukan dasar yang baik, bukan melompat untuk mempertahankan dan membela rakyat dan kita tak boleh lupakan perkara ini.

"Tidak kira kita di meja pembangkang atau pun di meja kerajaan dan yang akhirnya yang susah, terperangkap dengan pilihan raya semasa pandemik tidak lain tidak bukan adalah rakyat di Melaka, yang perlu membayar pilihan raya ini.

"Dan ini jelas salah, maka pendirian Muda adalah untuk menolak politik sebegini, politik yang tidak bermaruah, politik katak yang tidak mencerminkan budaya rakyat Malaysia yang sebenar.

"Ini adalah jalan untuk kemukakan salah satu landskap politik yang baru, muka-muka baru yang fokus kepada politik dasar dan khidmat untuk memastikan Melaka terus membangun," katanya.

Tambah Syed Saddiq, dia maklum partinya itu masih belum dapat didaftarkan kerana ketakutan pimpinan politik elit yang tidak membenarkannya melakukan perubahan politik di Malaysia.

"Kita juga faham, Muda bukanlah parti yang berduit, parti yang ada pangkat, parti yang ada kawalan terhadap media massa, yang ada kawalan terhadap politik wang di Malaysia.

"Tetapi apa yang kita tiada ini kita buat kerana kita ada idealisma, kita ada semangat perjuangan, kita ada prinsip yang jelas dan mereka yang sangup bersama dengan kita ini adalah mereka yang tidak mendambakan pangkat dan jawatan tetapi sanggup bekerja dari pagi hingga malam untuk pastikan prinsip dan idealisma itu diketengahkan," tegasnya.

Pada 4 Oktober, empat Adun yang diketuai oleh Adun Umno Sungai Udang, Idris Haron, mengumumkan keputusan mereka untuk menarik balik sokongan kepada Sulaiman.

Tiga yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Susulan itu, Sulaiman kehilangan majoriti dan Ali membuat keputusan untuk membubarkan DUN, membuka jalan untuk pilihan raya negeri pada 20 November.

Lihat Komen
ADS