Mukhriz didakwa pecahbelahkan Pemuda Umno
Pergerakan Pemuda Umno telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi untuk membincangkan tindakan Exco kanannya, Datuk Mukhriz Mahathir mengkritik ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pergerakan Pemuda Umno telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi untuk membincangkan tindakan Exco kanannya, Datuk Mukhriz Mahathir mengkritik ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tindak tanduk Mukhriz selama ini dan semalam telah mengecewakan exco-exco Pemuda dan ketua-ketua Pemuda negeri.
"Dalam mesyuarat khas yang diadakan semalam semua exco dan ketua Pemuda kecewa dan marah serta berpendapat Mukhriz telah memecahbelahkan pergerakan itu," ujarnya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Mukhriz, antara lain, dilaporkan berkata ucapan dasar Abdullah di perhimpunan agung Umno Rabu lalu. Anak bekas Perdana Menteri itu juga menyifatkan kenyataan Abdullah tentang langkah memerangi rasuah tidak lebih daripada retorik semata-mata.
Hishammuddin berkata, mesyuarat khas itu mendapati Mukhriz telah melakukan beberapa kesalahan seperti melanggar kata sepakat exco Pemuda, mengengkari amanah untuk menyokong usul ucapan dasar presiden dan tidak berunding dengan exco bila membuat kenyataan.
Sambil menyifatkan tindakan Mukhriz itu sudah melampau, Menteri Pelajaran itu berkata, beliau tiada pilihan, kecuali memberi amaran secara terbuka kepadanya dan akan bertindak tegas jika Mukhriz terus mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kata sepakat exco pergerakan itu.
Keadaan sudah berubah
"Selama ini kita banyak memberi peluang kepadanya kerana memahami keadaannya yang terperangkap antara kesetiaan kepada bapanya dan peranannya sebagai Exco Pemuda. Tetapi selepas dia membuat kenyataan mengkritik ucapan dasar Presiden, keadaan sudah berubah.
"Selama ini Pemuda Umno begitu bertoleransi dengan beliau kerana sebagai anak bekas Perdana Menteri, beliau mempunyai identiti istimewa," katanya.
Hishammuddin berkata, Mukhriz tidak sepatutnya mengkritik ucapan dasar Abdullah kerana di dalam ucapan dasarnya dan perbahasan perhimpunan Pemuda, telah ditegaskan kesetiaan kepada pemimpin dan parti.
"Mungkin Mukhriz tidak faham atau sengaja tak mahu faham. Saya selama ini tidak pernah memarahi exco, tapi bila beliau membuat kenyataan terbuka, saya terpaksa memberi amaran kepadanya secara terbuka juga," tambah Hishammuddin lagi.
Beliau berkata, tindakan selanjutnya terhadap Mukhriz akan difikirkan selepas melihat reaksi dan maklum balas daripada beliau selepas ini.
Ketua Pemuda Umno itu juga menafikan beliau membuat kenyataan hari ini selepas menerima tekanan dari pihak-pihak tertentu.
Sementara itu Mukhriz yang ditemui oleh malaysiakini selepas sidang akhbar Hishammuddin itu berkata;" Saya tak ada apa-apa nak komen masa ini, kita tunggu selepas ini."
Hishamuddin Hussein
.
