Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga sayap PAS bersidang hujung minggu ini
Diterbitkan:  Oct 29, 2021 9:04 AM
Dikemaskini: 5:03 AM

Ketiga-tiga sayap PAS iaitu Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat mengadakan perhimpunan agung masing-masing hujung minggu ini.

Ini bersempena Muktamar Tahunan PAS ke-67 akan diadakan pada 6 dan 7 November ini di Kuala Terengganu secara hibrid.

Kehadiran fizikal melibatkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Pesuruhjaya PAS Negeri/ Wilayah Persekutuan sahaja.

Muktamar Dewan Pemuda PAS bakal berlangsung di Corus Paradise Resort, Negeri Sembilan dan Muktamar Dewan Muslimat di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Oktober ini, secara hibrid iaitu gabungan fizikal dan maya.

Manakala Dewan Ulama PAS akan berlangsung di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, Seremban Negeri Sembilan pada 30 Oktober.

PAS juga buat pertama kalinya akan mengadakan muktamar tahunannya secara normal baru memandangkan Covid-19 masih melanda negara, yang mana ia hanya akan dihadiri pada kadar jumlah yang dibenarkan sahaja di satu satu lokasi.

Manakala, perwakilan dari negeri-negeri lain yang dianggarkan lebih 1,000 orang akan berada di negeri masing-masing dan akan mengikuti muktamar berkenaan secara maya, begitu juga sewaktu pemilihan di Facebook rasmi PAS Pusat.

Tahun ini juga adalah tahun pemilihan dalam PAS bermula dari peringkat Cawangan hinggalah ke Kawasan-kawasan dan berakhir di peringkat Pusat.

Para perwakilan PAS akan memilih pemimpin mereka untuk memimpin parti Islam ini bagi tempuh 2021-2023.

Abdul Hadi Awang dijangka kekal sebagai Presiden PAS tanpa dicabar dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS Pusat dan muktamar kali ini.

Sumber rapat portal berita FMT berkata, budaya dalam PAS ketika ini lebih harmoni selepas kumpulan yang mencabar Hadi ketika pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 2015 bertindak keluar parti dan membentuk Amanah.

Pun begitu, tidak dapat dipastikan adakah Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man akan mempertahankan jawatan sedia adanya.

Begitu juga tiga lagi naib presiden parti itu, iaitu Idris Ahmad, Nik Mohd Amar Abdullah dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, Samsuri sebelum ini dilaporkan berkata dia belum membuat keputusan sama ada mahu mempertahankan jawatan sebagai naib presiden atau tidak.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki akan bertanding jawatan naib presiden PAS.

Dua pemimpin kanan PAS ini mencabar tiga penyandang jawatan sekarang iaitu Dr Ahmad Samsuri, Idris Ahmad dan Mohd Amar Nik Abdullah.

Diperingkat sayap pula setakat ini tidak jelas siapa lawan siapa bagi merebut jawatan kepimpinan parti dan tiada pengumuman berhubung pemilihan tersebut dibuat.

Namun, difahamkan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin sudah mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya.

Selain pemilihan kepimpinan parti, muktamar kali ke 67 itu juga merupakan muktamar terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU) ke 15 akan datang yang dijangka selewat-lewatnya akhir Julai 2022.

Muktamar tahun ini juga sangat signifikan kerana perwakilan akan memilih saf kepimpinan, mereka yang paling kompeten dan piawai untuk mengemudi perjalanan PAS.

Muktamar ini juga akan menjadi medan penilaian organisasi melalui laporan muktamar, sejauh mana lajnah-lajnah berperanan yang melambangkan kompetensi seseorang pimpinan pusat mengurus amanah.

Selain itu, muktamar kali ini juga berlangsung ketika parti terpaksa membuat pilihan sama ada mahu terus bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) atau dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN).

Persoalan bagaimana PAS akan menjawab wacana semasa yang dikaitkan dengan parti itu seperti isu pengguguran kematian Muhammad Adib, isu arak dan judi cabutan khas juga menjadi intipati utama muktamar hujung minggu ini.

Lihat Komen
ADS