Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Belanjawan 2022: Pendapatan berkurang, defisit besar untuk negara pasca Covid-19

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan itu dijangka mendapat sokongan dwipartisan, menurut memorandum persefahaman yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Ikuti laporan langsung Malaysiakini mengenai belanjawan:


Tengku Zafrul ingatkan 'perang melawan Covid-19' belum berakhir

6pm: Menteri Kewangan tengku Zafrul menutup pembentangannya dengan mengingatkan ahli parlimen berkenaan peperangan melawan Covid-19.

"Ketahuilah... perjuangan menentang wabak ini belum berakhir.

"Nasib rakyat masih perih, barisan hadapan kita belum pulang dari perbatasan ke pangkuan keluarga mereka, peperangan masih membara di luar sana.

"Tapi kita sudah hampir di ambang kemenangan, yakinlah, kita dekat sekali. Cukup dekat," katanya.

Seperti tahun lepas, pembentangan belanjawan kali ini tidak disambut dengan sorakan atau sindiran pembangkang.


Bonus RM700 untuk penjawat awam, RM350 untuk pesara

5.59pm: Kerajaan mengumumkan bonus sebanyak RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 ke bawah.

Seramai sejuta pesara pula akan menerima RM350.

Ketika mengumumkan beberapa insentif untuk pelbagai jabatan perkhidmatan awam, Tengku Zafrul menyuarakan penghargaan kepada petugas barisan depan yang melawan wabak Covid-19.


Cukai khas kepada syarikat jana pendapatan tinggi

5.55pm: Kerajaan akan memperkenal cukai khas secara one-off - diberi nama cukai makmur - kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.

Menurut Tengku Zafrul, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan 24 peratus.

Pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan 33 peratus bagi tahun taksiran 2022.

Katanya, krisis Covid-19 meningkatkan keperluan untuk membiayai golongan yang terjejas dan sistem kesihatan perlu dipastikan agar lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran mendatang.


Cukai diperluaskan

5.50pm: Pendapatan daripada sumber luar negara yang diterima di Malaysia akan dikenakan cukai bermula 1 Januari 2022.

Barang bernilai rendah dari luar negara yang dijual oleh peniaga dalam talian dan dihantar kepada pengguna di Malaysia melalui perkhidmatan kurier udara akan dikenakan cukai jualan.

Cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penghantaran barang yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan termasuk platform e-dagang kecuali perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman serta perkhidmatan logistik.

Syarikat yang mahu menyertai perolehan kerajaan perlu memperolehi sijil pematuhan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula 1 Januari 2023.


Akta Tanggungjawab Fiskal diperkenal

5.50pm: Kerajaan merancang untuk menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal untuk meningkatkan kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara.

Rang undang-undang itu dijangka akan sedia tahun depan, kata Tengku Zafrul.

Selain itu, kerajaan sedang melaksanakan Public Expenditure Review dengan kerjasama Bank Dunia bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan awam tanpa menjejaskan sistem penyampaian awam.


Inisiatif hijau, tiada cukai untuk kenderaan elektrik

5.40pm: Bursa Malaysia akan mengendalikan inisiatif Voluntary Carbon Market untu dagangan kredit karbon untuk pemilik aset hijau.

Kenderaan elektrik tidak akan dikenakan cukai. Kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan tersebut.

Kerajaan juga akan meraih RM10 bilion menerusi Sukuk Kelestarian bagi projek sosial dan mesra alam.


Geran untuk syarikat bumiputera teroka aeroangkasa

5.30pm: Kerajaan memperuntukkan geran padanan RM100 juta untuk penerokaan peluang perniagaan dalam bidang aeroangkasa.

Namun ia hanya terhad untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera.

Sebanyak RM423 juta disediakan untuk menggiatkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk RM295 juta untuk universiti awam.


Bantuan untuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana

5.20pm: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana boleh menangguh bayaran ansuran cukai pendapatan sehingga enam bulan, sehingga 30 Jun 2022.

Pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus juga mendapat potongan cukai sehingga tempoh yang sama.

Kerugian terkumpul yang tidak dapat diserap boleh dibawa ke hadapan untuk tempoh daripada maksimum 7 tahun taksiran berturut-turut kepada maksimum 10 tahun taksiran berturut-turut.


Potongan cukai untuk syarikat buat ubah suai untuk patuh SOP

5.15pm: Kerajaan akan melanjutkan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis yang dibuat untuk mematuhi keperluan SOP Covid-19 sehingga RM300,000 sehingga 31 Disember 2022.

Bagi syarikat yang berdaftar di bawah Safe@Work, potongan cukai tambahan sehingga RM50 ribu diberikan ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja akan dilanjutkan untuk setahun lagi.


Cukai keuntungan harta tanah dilonggarkan

5.10pm: Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun ke enam dan ke atas.

Kerajaan juga menyediakan jaminan sehingga RM2 bilion kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk memberi akses pembiayaan kepada pekerja gig, pengusaha kecil dan petani membeli rumah.


5.05pm: Kerajaan akan melanjutkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang yng dipasang di Malaysia serta 50 peratus bagi kereta import selama

enam bulan sehingga 30 Jun 2022. 


Pengecualian cukai untuk pendapatan e-sukan

5.02pm: Sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan untuk membantu perkembangan e-sukan. Ia termasuk RM5 juta untuk membina Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

Tengku Zafrul turut mengucapkan tahniah kepada warga Malaysia yang menyertai kejohanan Dota 2 di Romania baru-baru ini.

Dia berkata, pendapatan daripada e-sukan tidak akan dikenakan cukai.

Untuk rekod, pendapatan di luar negara biasanya dikecualian daripada cukai.


Peruntukan untuk warga emas, kanak-kanak

5.05pm: Sebanyak RM653 juta diperuntukkan untuk bantuan kebajikan, institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas.

Menurut Tengku Zafrul, menjelang 2030, Malaysia bakal dikategorikan sebagai negara menua.

RM30 juta ringgit pula disediakan untuk memberi subsidi 50 peratus (sehingga RM150) untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kereta.

Program ini dijangka memanfaatkan 188,000 keluarga B40.


4.50pm: Sebanyak RM13 juta akan diberikan kepada Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) PDRM. Seramai 100 anggota akan ditambah untuk bahagian ini.


Peruntukan buat kampung baru Cina, usahawan India

4.47pm: Peruntukan khas akan disediakan untuk membaiki rumah di kampung baru Cina.

Dana juga akan diberikan kepada usahawan India menerusi skim mikrokredit Tekun dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Peruntukan khas diberikan untuk penduduk Sabah dan Sarawak bagi kegiatan kebudayaan.

Rukun Tetangga juga layak untuk memohon geran RM6,000.


Peruntukan untuk inisiatif Bumiputera

4.55pm: Sebanyak RM11.4 bilion diperuntukkan bagi inisiatif pembangunan Bumiputera.

Kerajaan juga memperuntukkan RM274 juta untuk program bantuan masyarakat Orang Asli.


Rebat cukai dinaikkan kepada peserta kursus peningkatan kemahiran

4.40pm: Kerajaan meningkatkan rebat cukai bagi mereka yang menyertai kursus peningkatan kemahiran kepada RM2,000 daripada RM1,000 sebelumnya. Pelepasan cukai ini sehingga 2023.


Skim JaminKerja untuk kurangkan kadar pengangguran kepada 4 peratus

4.33pm: Kadar pengangguran setakat Ogos 2021 adalah 4.6 peratus.

Kerajaan akan memperkenalkan skim JaminKerja Keluarga Malaysia dengan sasaran menyediakan 600,000 pekerjaan.

Di bawah skim ini, kerajaan akan memberi subsidi 20 peratus gaji untuk enam bulan pertama dan 30 peratus untuk enam bulan seterusnya.

Bagaimanapun, skim ini terhad untuk gaji bawah RM1,500 sahaja.

JaminKerja juga akan memberi insentif bagi pengambilan orang kelainan upaya - subsidi gaji 30 peratus untuk enam bulan pertama dan 40 peratus untuk enam bulan seterusnya.

Ia terhad bagi gaji di bawah RM1,200.

Menurut Tengku Zafrul, JaminKerja dijangka mengurangkan pengangguran kepada 4 peratus.


Diskaun untuk pinjaman PTPTN

4.30pm: Berikut diskaun untuk pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN):

Pembayaran penuh: 15 peratus

Pembayaran 50 peratus: 12 peratus

Skim potongan gaji berjadual: 10 peratus


Pelajar daripada keluarga B40 dapat tablet percuma

4.28pm: Kerajaan akan menyediakan RM100 kepada setiap guru untuk membeli peralatan mengajar. Pelajar daripada keluarga B40 di institusi pengajian tinggi akan menerima komputer tablet percuma.

Sejumlah 600,000 pelajar dijangka menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Kerajaan akan terus memberikan pelepasan cukai RM2,500 bagi pembelian komputer dan telefon.


Kementerian Pendidikan dapat peruntukan terbesar, RM120 juta untuk sekolah vernakular

4.25pm: Kementerian Pendidikan terus mendapat peruntukan terbesar kali ini. Pemberian RM150 akan diberikan kepada murid prasekolah.

RM1 bilion akan diperuntukkan untuk membaiki dan menambah baik sekolah. Sebanyak RM120 juta pula diuntukkan kepada sekolah vernakular Cina dan Tamil.


Cukai gula diperluas, duti eksais untuk produk rokok elektronik

4.25pm: Cukai gula akan diperluas. Duti Eksais akan dikenakan kepada produk minuman koko, coklat dan malt. Duti eksais juga akan dikenakan untuk produk rokok elektronik.


Pemberian wang tunai RM300-RM2,500

4.15pm: Pemberian tunai sekali beri Prihatin -

Keluarga dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan dan sekurang-kurangnya tiga anak: RM2,000

Ibu atau bapa tunggal dengan pendapatan kurang RM5,000: Tambahan RM500

Tambahan RM300 untuk isi rumah dengan warga emas.


Pertumbuhan ekonomi dijangka 5.5-6.5 peratus

4.10pm: Kerajaan menganggarkan ekonomi negara akan bertumbuhan antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus tahun depan.

Pada Ogos, Bank Negara meramalkan pertumbuhan bagi tahun ini antara 3 peratus hingga 4 peratus.


Belanjawan terbesar dalam sejarah

4.05pm: Belanjawan 2022 memperuntukkan RM332.1 bilion - meningkat 3 peratus daripada belanjawan sebelumnya.

Jumlah ini merupakan yang terbesar dalam sejarah belanjawan negara.

Jumlah keseluruhan belanjawan 2022: RM332.1 bilion (↑ 3 peratus, 2021: RM322.54 bilion)

Belanjawan pengurusan: RM233.5 bilion (↑ 6.3 peratus, 2021: RM219.6 bilion)

Belanjawan pembangunan: RM75 bilion (↑ 22.5 peratus, 2021: RM61.2 bilion)

Unjuran defisit untuk 2022: 6 peratus (2021: 5.4 peratus [anggaran])


4pm: Zafrul memulakan ucapan pembentangan dengan antara lain mengumumkan bahawa tema Belanjawan 2022 ialah 'Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera'.

Jelas Tengku Zafrul tiga paksi utama iaitu: 1) Rakyat Yang Sejahtera; 2) Perniagaan Yang Berdaya Tahan; dan 3) Ekonomi Yang Makmur dan Mampan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS