Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'PAS parti rebutan ramai, tak tersepit antara Umno dan Bersatu'

MUKTAMAR PEMUDA PAS | Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang baru, Ahmad Fadhli Shaari menafikan partinya kini berada dalam dilema serta tersepit antara Umno dan Bersatu dalam isu kerjasama untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Sebaliknya, Ahmad Fadhli berkata situasi tersebut memperlihatkan PAS kini menjadi parti rebutan ramai.

“Saya tidak melihat PAS dalam keadaan tersepit. Saya melihat PAS merupakan suatu parti yang menjadi rebutan ramai.

“Itu bukan tersepit namanya. Kita mempunyai nilai yang tinggi sehingga dipercayai oleh Umno dan Bersatu,” katanya dalam sidang media bersama pemberita selepas Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ahmad Fadhli berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Umno dan Bersatu berhubung isu kerjasama kedua-dua parti itu.

Umno sebelum ini meletakkan syarat kepada PAS untuk menggunakan logo parti itu sendiri dalam PRN Melaka.

Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) pada pilihan raya negeri Melaka.

Bagaimanapun kerjasama itu berpandukan kepada prinsip PAS mesti bertanding menggunakan lambang sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan PAS membuat keputusan berhubung keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk meneruskan persefahaman dengan parti itu bagi PRN Melaka.

Jalan keluar tiga penjuru

Muhyiddin berkata gabungan itu akan meneruskan strategi yang telah dibincangkan dan dirancang serta bersedia dengan untuk pertembungan tiga penjuru.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata dalam hal itu PAS akan bertindak sebaik mungkin untuk menjadikan persefahaman politik antara parti berkenaan menjadi satu kenyataan dan tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Saya juga dimaklumkan bahawa PAS akan keluarkan kenyataan dalam sedikit masa lagi dan kita maklum bahawa perkembangan terbaru yang diumumkan perdana menteri yang telah diberikan mandat oleh Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengurus PRN Melaka ini bahawa Umno sendiri dah setuju untuk tidak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRN Melaka.

“Jadi, itu sudah cukup baik,” katanya.

Bagaimanapun, diminta mengulas lanjut kenyataan Muhyiddin bahawa PN bersedia untuk pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru, Ahmad Fadhli berkata dia optimis bahawa akan ada jalan keluar berhubung situasi terbabit.

“Saya optimis bahawa akan berlaku jalan keluar. Kenyataan-kenyataan yang keluar itu saya kira hasrat daripada parti yang akhirnya akan berakhir di meja rundingan,” katanya.

Malah, kata Ahmad Fadhli, Pemuda PAS telah meluluskan suatu usul tergempar bahawa sayap pemuda akan berdiri teguh dengan pendirian partinya.

“Kita telah meluluskan usul tergempar sebentar tadi bahawa Pemuda PAS sentiasa berdiri teguh bersama dengan pendirian yang diputuskan oleh institusi presiden.

“Ertinya, sekali keputusan dibuat, maka tidak ada lagi kata-kata lain atau pandangan kedua.

“Jadi, kita akan tunggu dan lihat apa keputusan yang akan dibuat institusi presiden dan juga pendirian rasmi PAS itu sendiri.

“Pada kita apa jua keputusan yang diputuskan itu telah mengambil kira semua pertembungan dan apa senario yang akan berlaku,” tambahnya.

Kempen di padang sama rata

Sementara itu, mengulas kempen pertamanya selaku ketua pemuda yang baru dalam PRN Melaka, Ahmad Fadhli berkata PAS mahu bertarung di atas padang yang sama rata dan bukan yang berat sebelah.

“Kami menghormati SOP yang telah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan kita yakin bahawa kempen dalam suasana baru khususnya melalui media massa dan sebagainya ini merupakan kempen yang agak berkesan buat masa sekarang ini.

“Tetapi, saya mahu menyatakan biarlah padangnya sama rata. Itu merupakan suara Pemuda PAS.

“Ertinya, kalau pembangkang tidak diberikan ruang untuk berkempen secara bersemuka begitu juga dengan parti-parti yang lain.

“Kami mahu bertarung di atas padang yang sama dan kami tak suka bertarung di atas padang yang berat sebelah,” katanya.

Tambah Ahmad Fadhli, walaupun PAS daripada pihak kerajaan tetapi dia yakin SOP yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu tertakhluk atas semua pihak.

“Buktinya jelas, Umno sebagai parti kerajaan pun disaman ketika melaksanakan pelancaran kempen jenteranya di PWTC.

“Insya-Allah saya yakin kempen di PRN Melaka ini menjadi tanda aras baru bahawa boleh dilaksanakan kempen tanpa bersemuka dan saya yakin jika ia berjaya di Melaka ia akan terus berjaya dalam PRU15,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS