mk-logo
Berita
Nasrudin tawar 'gelang kerjasama' damaikan Umno-Bersatu
Diterbitkan:  Nov 2, 2021 5:58 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

PRN MELAKA | Seorang pemimpin kanan PAS hari ini menawarkan penjelasan mengenai kedudukan parti itu serta status Muafakat Nasional yang mereka meterai dengan Umno.

Malah ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan, turut memberikan penerangan mengenai strategi mereka bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada 20 Nov ini.

Katanya Muafakat Nasional tetap wujud seperti sepatutnya walaupun PAS kini menjadi parti komponen PN yang ditunjangi Bersatu.

Menurut Nasrudin Muafakat Nasional ialah kesepakatan di antara PAS dan Umno "demi memelihara perpaduan umat Islam" dan untuk memastikan ia tidak retak bagi mendepani cabaran semasa.

"Keputusan PAS menggunakan logo PN dalam PRN Melaka yang dibuat dalam mesyuarat semalam tidaklah menafikan malah tidak pula memutuskan hubungan dalam Muafakat Nasional.

"Sebaliknya penggunaan logo PN dalam PRN Melaka ini merupakan langkah ijtihad politik semasa PAS bagi menghadapi PH dan merencana agar Melaka tidak jatuh ke tangan PH," katanya dalam kenyataan dibuat di media sosial hari ini.

PAS semalam memutuskan mereka akan menyertai PRN Melaka dengan bertanding menggunakan lambang PN.

Bahagi kerusi dalam harmoni

Presidennya PAS Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. 

Ia sekali gus menunjukkan PAS menolak huluran tangan daripada Umno yang menawarkan mereka bertanding bersama dengan menggunakan lambang sendiri.

Ia merupakan perkembangan yang langka kerana sebelum ini PAS tidak pernah menyertai pilihan raya menggunakan lambang selain logo mereka kecuali sewaktu parti itu menyertai BN pada 1970-an.

Nasrudin berkata di sebalik ketetapan dibuat PAS, dia yakin langkah itu mampu mewujudkan pertembuang satu lawan satu - menghadapi Pakatan Harapan (PH) - pada akhirnya.

Menggunakan rajah yang dilukis, yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysa itu menambah Umno akan bertanding menggunakan logo BN bersama MIC dan MCA, manakala PAS membawa lambang PN bersama Bersatu.

Menggelarkan percaturan itu sebagai "gelang kerjasama" Nasrudin berkata Muafakat Nasional akan membolehkan BN dan PN dirangkumkan.

"Electoral pact (pakatan pilihan raya) boleh diurus dengan mengekalkan semangat kerjasama bagi memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka.

"Pembahagian kerusi secara pintar mesti dilakukan dengan harmoni antara BN dan PN agar menjadi satu pasukan kuat mendepani PH," katanya.

 

Lihat Komen
ADS