Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isunya ialah terpaksa memilih makanan atau tuala wanita - Maria
Diterbitkan:  Nov 5, 2021 9:57 AM
Dikemaskini: 1:58 AM

Anak presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid, terus dikritik kerana pandangannya menidakkan isu kemiskinan haid di negara ini. Kali ini datang daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Merujuk kenyataan Nurulhidayah yang memberi gambaran bahawa tuala wanita tidaklah terlalu mahal, Maria berkata, isu berkenaan bukanlah tentang harga, tetapi pendapatan keluarga miskin yang sangat terhad.

“Di kawasan Petaling Jaya saya edarkan 1,000 paket tuala wanita kepada golongan B40 kerana kekangan pendapatan.

“Ini bukan isu harga, tetapi pilihan sama ada mahu membeli makanan atau beli pad (tuala wanita). Itu yang sedihnya,” ciap Maria di Twitter.

Nurulhidayah sebvelum ini mendakwa kemiskinan haid di Malaysia tidaklah seteruk India memandangkan terdapat banyak pusat zakat dan NGO untuk membantu wanita negara ini.

Secara umum, kemiskinan haid ialah isu kesukaran wanita mendapatkan produk-produk berkaitan haid, dan kurangnya pengetahuan tentang kemudahan haid serta kebersihan diri.

Semasa pengumuman Belanjawan 2022, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dianggarkan seramai 130,000 remaja wanita dari keluarga B40 berdepan masalah mendapatkan produk kebersihan seperti tuala wanita ekoran kekangan kewangan.

Oleh hal yang demikian, kerajaan berkata ia akan mengedarkan kit kebersihan diri setiap bulan buat 130,000 remaja perempuan dalam keluarga B40 bagi menangani isu kemiskinan haid. 

Lihat Komen
ADS