Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PN letak 28 calon, PAS bakal mencabar Umno di 7 kerusi
Diterbitkan:  Nov 6, 2021 6:29 PM
Dikemaskini: 2:43 PM

PRN MELAKA | Pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru hampir menjadi pasti dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 20 Nov ini apabila Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan calon di semua 28 kerusi yang ada.

Mengumumkan calon gabungan itu di Shah Alam petang ini Pengerusi PN Muhyiddin Yasin menyenaraikan semua calon bagi kerusi berkenaan membabitkan 15 dari Bersatu, lapan dari PAS dan lima mewakili Gerakan.

Jika pencalonan itu diterima sepenuhnya Isnin ini PAS bukan saja akan berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH), malah terpaksa menghadapi cabaran daripada parti yang memeterai Muafakat Nasional dengan mereka iaitu Umno.

Untuk rekod sejak sekian lama PAS bertegas mahu menjadi pendamai kepada Umno dan Bersatu.

PAS akan bertanding di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.

Hanya kawasan Kelebang saja PAS dijangka tidak akan berdepan dengan cabaran Umno kerana BN menyerahkan kerusi tersebut kepada MCA.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamarudin Sidek, diletakkan bertanding di kerusi Duyong, iaitu kawasan yang sama dicalonkan oleh partinya pada 2018. 

Kamarudin akan mencabar penyandang Damian Yeo Shen Li dari PH.

Sementara itu Bersatu pula akan berdepan cabaran Umno di 12 kerusi.

Pengerusi Bersatu Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, pula diletakkan di kerusi Telok Mas berbanding Paya Rumput yang ditandinginya pada 2018. Dia memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,259 undi. 

Pada PRU ke-14 lalu Bersatu - ketika itu menjadi sebahagian daripada PH - memenangi kerusi Telok Mas melalui calonnya Noor Effandi Ahmad dengan kelebihan 1,288 undi.

Noor Effandi sudah dipecat daripada Bersatu selepas terlibat menarik balik sokongannya kepada kerajaan BN-PN Melaka bersama tiga Adun lain baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mas Ermieyati Samsudin yang juga ahli parlimen Masjid Tanah pula dipertaruhkan di Tanjong Bidara.

Mengikut senarai yang ada Umno meletakkan Ab Rauf Yusoh di situ. Dia merupakan pengerusi Umno Melaka. PH pula menamakan Zainal Hassan sebagai pencabar.

Pada 2018 Gerakan - yang ketika itu menjadi parti komponen BN - hanya diberikan satu kerusi iaitu Pengkalan Batu yang kali terakhir dimenanginya ialah pada 2004.

Ketika itu kerusi berkenaan dikenali sebagai Bachang.

Kali ini Pengkalan Batu diberikan kepada Azrudin Md Idris dari Bersatu..

Sementara itu Muhyiddin berkata 43 peratus daripada calon yang dipilih PN kali ini adalah individu yang berusia bawah 40 tahun dan ia melambangkan pengiktirafan kepada golongan muda.

Berikut ialah senarai nama calon PN:

N01 Kuala Linggi:  Aziah Mohd Sa'ad (PAS)

N02 Tanjung Bidara: Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu)

N03 Ayer Limau:  Nordina Abd Latif (Bersatu)

N04 Lendu: Abdullah Mahadi (Bersatu)

N05 Taboh Naning: Abu Hashim Abdul Samad (PAS)

N06 Rembia: Zamzuri Arifin (Bersatu)

N07 Gadek: Amir Fitri Muharam (Bersatu)

N08 Machap Jaya: Tai Siong Jul (Bersatu)

N09 Durian Tunggal: Ja'afar Othman (PAS)

N10 Asahan: Dhanesh Basil (Gerakan)

N11 Sungai Udang: Dr Mohd Aleef Yusof (Bersatu)

N12 Pantai Kundor: Mohd Ridzwan Mustafa (Bersatu)

N13 Paya Rumput: Muhammad Faris Izwan Mazlan (Bersatu)

N14 Kelebang: Bakri Jamaluddin (PAS)

N15 Pengkalan Batu: Mohd Azrudin Md Idris (Bersatu)

N16 Ayer Keroh: Micheal Gan Peng Lam (Gerakan)

N17 Bukit Katil: Muhammad Al Afiz Yahya (PAS)

N18 Ayer Molek: Mohd Fadly Samin (Bersatu)

N19 Kesidang: Patrick Ng Chin Kae (Gerakan)

N20 Kota Laksamana: Fong Khai Ling (Gerakan)

N21 Duyong: Kamarudin Sedik (PAS)

N22 Bandar Hilir: Clarice Chan Ming Wang (Gerakan)

N23 Telok Mas: Mohd Rafiq Naizamohideen (Bersatu)

N24 Bemban: Mohd Yadzil Yaakub (Bersatu)

N25 Rim: Azalina Abdul Rahman (Bersatu)

N26 Serkam: Ahmad Bilal Rahaudin (PAS)

N27 Merlimau: Abd Alim Shapie (PAS)

N28 Sungai Rambai: Muhammad Jefri Safry (Bersatu)

Antara pemimpin PN yang hadir dalam majlis pengumuman itu ialah Presiden Gerakan Dominic Lau dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Moktar.

Lihat Komen
ADS