Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ulama PAS harap Umno kalah agar boleh belajar 'politik jujur'
Diterbitkan:  Nov 6, 2021 7:39 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

PRN MELAKA | Selepas pemimpin Bersatu mengajak pengundi Melaka 'mengajar' Umno-BN, petang ini ulama PAS pula menyuarakan pandangan yang sama.

Sambil bersumpah untuk menegaskan sayangnya kepada Muafakat Nasional, anggota Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik menzahirkan harapannya untuk melihat Umno tewas.

Katanya dalam PRN Melaka nanti parti yang memeterai piagam dengan PAS itu perlu kalah untuk memahami apa yang diperjuangkannya iaitu makna persaudaraan dan pentingnya agama, negara dan ummah.

"Mudah-mudahan kekalahan Umno di Melaka akan banyak mengajar politik jujur dan bersih kepada Umno.

"Oleh itu semua pengundi PAS perlu menjadi guru politik kepada Umno," katanya dalam hantaran di media sosial petang tadi.

Terdahulu anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman mengajak pengundi di Melaka menghukum Umno "secara berjemaah" pada 20 Nov ini.

Dia turut mengaitkan perkembangan itu dengan tersingkirnya dua pemimpin utama Bersatu dari jawatan penting masing-masing, iaitu Muhyiddin Yassin dan Ahmad Faizal Azumu.

Untuk rekod Ahmad Faizal merupakan timbalan presiden Bersatu yang diketepikan daripada jawatan menteri besar Perak pada awal Dis 2020 melalui gerakan yang dibuat Umno negeri berkenaan.

Menyusul selepas itu ialah hilangnya sokongan majoriti Muhyiddin sebagai perdana menteri pada 16 Ogos lalu. Muhyiddin merupakan presiden Bersatu dan pengerusi PN. 

Umno sebelum ini mengajak PAS kekal dengan kerjasama Muafakat Nasional malah menawarkan parti itu bertanding dengan menggunakan lambang sendiri.

Namun PAS memilih kekal bersama PN dan bertanding menggunakan lambang gabungan tersebut.

Muhyiddin petang tadi mengumumkan PAS akan dicalonkan di lapan kerusi. Daripada jumlah itu tujuh daripadanya dijangka akan meletakkan calon PAS berdepan dengan Umno - dan pada masa sama - PH.

Pagi tadi Presiden PAS Abdul Hadi Awang sudah menyatakan pendirian parti itu agar ahli dan penyokongnya mengundi PN jika bertembung dengan calon Umno. 

Lihat Komen
ADS