mk-logo
Berita
Usah teragak-agak undi PN, pesan Muslimat PAS
Diterbitkan:  Nov 9, 2021 12:54 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

PRN MELAKA | Muslimat PAS dilaporkan meminta pengundi tidak berasa ragu-ragu untuk memenangkan calon Perikatan Nasional (PN) pada 20 Nov ini.

Ketuanya Nuridah Mohd Salleh berkata seruan tersebut dibuat kerana PN begitu ketara mengutamakan nasib rakyat sejak mereka menjadi kerajaan.

“Harapan kami supaya rakyat tidak ragu-ragu memilih calon-calon yang ditampilkan.

“Alhamdulillah, prestasi PN sangat terserlah mengambil berat kehidupan masyarakat sejak memegang tampuk kepimpinan negara,” katanya seperti dipetik portal rasmi PAS, harakahdaily.

Nuridah yang juga timbalan ketua Wanita PN berkata demikian di Melaka.

Nuridah Mohd Salleh

Ia menarik perhatian kerana seruan berkenaan bermakna pengundi khususnya penyokong PAS perlu mengetepikan calon Umno-BN di semua kerusi yang dipertandingkan.

Untuk rekod PAS dan Umno memeterai Muafakat Nasional pada 14 Sept 2019 ketika kedua-dua parti terbabit menjadi pembangkang. Bagaimanapun PAS kemudian membuat keputusan sendiri menyertai PN yang ditunjangi Bersatu selepas mereka menjadi kerajaan pada 2020.

Ia jelas mengundang rasa kurang senang Umno. Keadaan menjadi lebih rumit apabila pada PRN Melaka PAS memilih bertanding menggunakan tiket PN dan lambang gabungan berkenaan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan antara sebab langkah itu diambil ialah kerana PN sebuah gabungan parti yang sudah berdaftar berbanding Muafakat Nasional.

Harap ada kesan positif

Seperti PN, BN dan Pakatan Harapan (PH) juga meletakkan calon di semua 28 kerusi dewan undangan negeri.

Lapan daripada kerusi PN diberikan kepada PAS dengan tujuh calon mereka akan turut berdepan dengan cabaran Umno.

Nurida juga berkata Muslimat PAS memang berharap ada lebih seorang calon mereka diturunkan bertanding kali ini namun akur dengan keputusan pimpinan PN apabila hanya seorang yang terpilih.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menawarkan konsep "PN untuk semua" bagi menghadapi PRN Melaka.

Takiyuddin Hassan

Katanya perjuangan PAS dan PN tidak mengira kaum, agama dan faktor lain.

"Kalau kita dulu, PAS for all (PAS untuk semua), dalam konteks PN ini, PN for all,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga menganggap pertembungan PAS dan Umno sebagai perlawanan persahabatan selepas mereka gagal mencari titik pertemuan bagi mengelak bertembung sesama sendiri.

Justeru kata Takiyuddin semua pihak dalam PAS yang terlibat dalam PRN Melaka diingatkan agar menjaga adab masing-masing sama ada sesama anggota parti atau gerak kerja politik.

“Sebab itulah kita memberi pesanan kepada calon dan jentera parti kita untuk melaksanakan dan menyertai pilihan raya ini dengan penuh adab-adab Islam,” katanya dipetik harakahdaily hari ini.

Tambah Takiyuddin PAS memang sedikit kecewa dan sedih kerana perlu berdepan dengan Umno-BN sekali gus penyatuan ummah itu tidak dapat dilaksanakan di Melaka.

Namun Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu yakin ada kesan positif yang terhasil selepas ini.

“Kita harap perkara yang berlaku mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Benda yang sudah berlaku,” katanya.

Lihat Komen
ADS