Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tukar Perdana ke Vellfire: Siapa makan duit, soal Syed Saddiq
Diterbitkan:  Nov 9, 2021 2:23 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Presiden Muda, Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesyaki "ada yang tidak kena" dengan keputusan kerajaan untuk menggantikan kenderaan rasmi Proton Perdana untuk menteri dengan Toyota Vellfire.

"Mesti ada udang di sebalik batu. Persoalannya, siapa makan duit? Siapa orang tengah? Siapa dapat tender? Kita kena siasat betul-betul," kata Syed Saddiq menerusi satu klip video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Syed Saddiq berkata ketika menganggotai jemaah menteri ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah, dirinya telah membantah cadangan untuk menggantikan kenderaan rasmi itu dengan Toyota Vellfire atas alasan ia akan menjimatkan wang.

Lebih-lebih lagi, kata Syed Saddiq, kabinet ketika itu mahu menyokong Proton, yang merupakan jenama kenderaan tempatan.

“Kerajaan (hari ini) pada masa musim orang susah luluskan kereta Toyota Vellfire sebagi kereta rasmi baru.

"Kenapa secara tiba-tiba? Kata nak bantu rakyat, macam mana beli banyak Vellfire boleh bantu rakyat?”soal bekas menteri itu.

Putrajaya secara senyap-senyap membayar pajakan bulanan kereta Toyota Vellfire 2.5 untuk menteri kabinet sejak April lalu dengan kos bulanan RM5,759.35 setiap satu.

Ia bagi menggantikan kenderaan rasmi Proton Perdana 2.4L yang digunakan oleh menteri persekutuan.

Ini hanya terbongkar apabila Putrajaya terpaksa menjawab soalan bertulis daripada Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.

Susulan itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz terpaksa tampil dengan alasan bahawa langkah itu perlu kerana kos sewa bulanan Toyota Vellfire adalah lebih murah.

Mengikut harga yang disediakan oleh Kementerian Kewangan, kos bulanan Toyota Vellfire 2.5L ialah RM4,851.61 manakala Proton Perdana 2.4 Premium ialah RM4,854.41 sebulan.

Ini bermakna penjimatan adalah sebanyak RM2.80 setiap kenderaan sebulan.

Lihat Komen
ADS