Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Beri Sabah 10 peratus dari belanjawan persekutuan, biar kami urus sendiri'

PARLIMEN | Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mencadangkan agar kerajaan persekutuan memperuntukkan 10 peratus daripada belanjawan tahunannya untuk Sabah.

Ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini, dia berkata peruntukan itu juga hendaklah diuruskan oleh rakyat Sabah sendiri dan bukannya kerajaan persekutuan.

Bung Mokhtar berkata cadangan itu mungkin akan dapat menyelesaikan isu Sabah yang merupakan antara negeri termiskin di Malaysia.

“Saya telah mendengar bahawa Sabah adalah negeri termiskin sejak saya berumur 10 tahun. Saya terus tertanya-tanya apa yang menyebabkan Sabah semakin miskin dari hari ke hari?

“Jadi untuk belanjawan yang dibentangkan, kalau boleh tolong peruntukkan 10 peratus daripada keseluruhan belanjawan kepada Sabah.

“Dulu RM5 bilion, kini (masih) RM5 bilion dan penyampaian (peruntukan) sangat perlahan, yang membimbangkan rakyat Sabah,” katanya.

Menurut Bung, luas keseluruhan Sabah dan Sarawak semenanjung, dan dengan itu peruntukan bagi kedua-dua negeri terbabit dan ahli parlimennya harus bersekadar dengan saiz dan keperluan negeri dan kawasan parlimen mereka.

Katanya lagi, sistem dan pentadbiran perlu diperbaiki mengikut peredaran masa dan dia sudah berkali-kali mencadangkan peruntukan daripada belanjawan persekutuan diuruskan oleh negeri-negeri kerana penduduk tempatan lebih tahu akan keperluannya.

“Beri kami wang dan biarkan Sabah melaksanakannya (projek) dan kami akan melaporkan apa sahaja yang kami laksanakan kepada kerajaan persekutuan.

“Jika kita diberi peruntukan tetapi ia diuruskan oleh kerajaan persekutuan, saya tidak nampak bagaimana Sabah akan menjadi negeri yang makmur dan maju seperti Selangor, Pulau Pinang atau lain-lain,” katanya lagi.

Selain itu, Bung juga menempelak kerajaan PH selama 22 bulan, di mana pertukaran pentadbiran telah menyebabkan sejumlah peruntukan tergendala.

“Apabila kerajaan BN kalah, semua sistem berubah. Kalau ia lebih baik saya tidak kisah, tetapi tidak.

“Negara kita menghadapi kerugian kewangan, dan menanggung hutang berbilion-bilion akibat kecuaian kerajaan (PH),” katanya.

Bung menyebut peruntukan perumahan sebagai contoh, yang mana peruntukan 150 unit perumahan bagi setiap kawasan parlimen oleh kerajaan BN telah dihentikan PH.

"Hanya apabila kerajaan bertukar tangan sekali lagi setiap kawasan menerima 15 unit, ia lebih baik daripada tiada," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS