PARLIMEN l Kerajaan membelanjakan lebih RM4 juta untuk penyelenggaraan pejabat menteri dan timbalan menteri pada tahun lalu dan tahun ini.

Perbelanjaan terbesar dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri (RM1.03 juta), diikuti oleh Kementerian Perpaduan (RM589,618) dan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM425,130).

Perkara itu didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Dr Abdul Latiff Ahmad dalam jawapan bagi pertanyaan lisan di Parlimen, hari ini.

"Sepanjang tahun 2020 dan 2021, sebanyak empat kementerian/jabatan telah membuat kerja-kerja penyelenggaraan berkala dengan kos keseluruhan adalah sebanyak RM4.004 juta," katanya dalam jawapan bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) meminta perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menyatakan satu persatu secara teperinci jumlah kos membaiki pejabat anggota kabinet 69 orang menteri dan timbalan menteri bagi tempoh 2020 hingga sekarang.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata penyelenggaran pejabat-pejabat menteri dan timbalan menteri merupakan salah satu dari keperluan dalam pengurusan fasiliti sesebuah bangunan.

Katanya, ini bagi memastikan semua fasiliti dan kemudahan pejabat-pejabat tersebut akan sentiasa terpelihara dalam keadaan yang baik dan kekal berfungsi sebagaimana yang dikehendaki.

Justeru, penyelenggaran bagi pejabat menteri dan timbalan menteri sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa.

"Dalam hal ini, antara kos penyelenggaraan yang terlibat adalah membaik pulih sistem pendawaian yang rosak, siling yang rosak, karpet dan perabot yang usang serta memasang sistem telesidang video di pejabat dan bilik mesyuarat anggota pentadbiran," tambahanya.