Yayasan Konrad Adenauer (KAF) menyuarakan rasa kesalnya terhadap seorang perwakilan Umno yang menurutnya membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap yayasan itu serta rakan-rakannya di Malaysia sewaktu perhimpunan agung parti itu minggu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, wakil KAF di Malaysia, Peter Schier berkata, perwakilan Umno Pulau Pinang, Shahbudin Yahya sepatutnya menyemak perkara itu dengan KAF terlebih dahulu, sebelum membangkitkannya di perhimpunan tersebut.

Dalam ucapannya di perhimpunan itu, Shahbudin menyebut nama beberapa pertubuhan yang didakwanya terbabit dalam aktiviti yang menggugatkan agama Islam.

Beliau mendakwa, pertubuhan tersebut disokong dan dibiayai oleh KAF yang mempunyai hubungan rapat dengan parti pemerintah negara Jerman, Christian Democratic Union.

Schier menafikan kenyataan perwakilan Umno itu bahawa Prof Dr Hans Kueng seorang yang menurutnya, boleh dianggap sebagai bapa kepada konsep etika global adalah 'seorang Yahudi dari Jerman'.

Katanya, Prof Kueng adalah seorang ahli teologi Roman Katolik yang terkenal dari Switzerland dan dihormati oleh semua pemimpin agama.

"Prof Kueng adalah penyampai ucaptama di sebuah bengkel antarabangsa di Kuala Lumpur pada Disember 2005 yang dianjurkan oleh KAF, dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

"Beliau juga mengambil bahagian dalam dialog yang panjang dengan wakil semua agama di Malaysia mengenai konsep etika global dan isu-isu yang berkaitan," tambahnya.

Mengenai Projek Etika Global Pulau Pinang dan pameran Agama-agama Dunia Keamanan Sejagat Etika Global, Shier berkata, semuanya berdasarkan kepada 'Pengisytiharan Ke arah Satu Etika Global' yang diterima oleh Parlimen Agama Dunia pada 4 September 1993.

Katanya, pengisytiharan itu ditandatangani oleh dua individu Islam terkemuka di Malaysia Pengerusi Institut Kefahaman Islam (Ikim), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Ismail Ibrahim.

Tuduhan 'tidak berasas'

Schier menegaskan, mereka yang menandatangani pengisytiharan itu, dengan jelas menyatakan bahawa "dengan sebuah etika global, kita tidak bermaksud sebuah ideologi global, atau sebuah agama yang disatukan, yang mengatasi agama-agama sedia ada dan tentunya bukan dominasi satu agama terhadap yang lain-lainnya."

"Memandangkan perkara di atas, maka adalah jelas tuduhan Shahbuddin terhadap konsep etika global itu tidak berasas sama sekali," katanya.

Perwakilan Umno telah mengecam Projek Etika Global Pulau Pinang kerana mengadakan 'lawatan' ke pelbagai tempat ibadat dan memberitahu para pesertanya bahawa semua agama adalah sama.

Sementara itu, Schier juga menegaskan pentingnya dialog "untuk mengatasi kejahilan, salahfaham dan sikap tidak bertolak ansur.

"Saya menjemput Shahbudin dan semua mereka yang berminat dengan aktiviti KAF supaya mengadakan sesi dialog dengan saya di man akita boleh berbincang secara bebas mengenai isu-isu berkaitan dengan projek kami di Malaysia," katanya.

Schier juga berkata, program anjuran KAF turut disokong oleh rakyat dan kerajaan Malaysia.

"Timbalan Perdana Menteri (yang juga Timbalan Presiden Umno) juga pernah menyampaikan ucaptama di seminar anjuran bersama Pusat Penyelidikan Strategi Malaysia dan KAF," katanya. Berita asal