Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRN MELAKA | Calon ketua menteri Perikatan Nasional (PN) akan dilantik daripada kalangan pemimpin Bersatu, kata Muhyiddin Yassin hari ini.

Pengerusi PN itu berkata gabungan itu telah pun mencapai persetujuan tentang calon ketua menteri, tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut, dengan mengatakan bahawa ia adalah sebahagian daripada strategi PN untuk hanya mengumumkannya kemudian.

"Kita akan umumkan tidak lama lagi. Yang pasti sebelum hari pengundian," katanya pada sidang media di Bemban, Melaka petang ini.

"Calon ketua menteri dah ada. Sewajarnya, Bersatu ada kerusi besar dan jika diberi kepercayaan rakan-rakan seperti PAS, ketua menteri akan datang daripada bersatu," katanya.

Bersatu bertanding 15 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, manakala PAS dan Gerakan masing-masing bertanding lapan dan lima kerusi.

PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan SAPP.

Naib Presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen, yang juga Ketua PN Melaka dan Ketua Bersatu Melaka, dipercayai merupakan antara calon utama.

Seorang lagi calon yang turut disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, yang juga bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara mewakili Bersatu.

Ketika ditanya sama ada PN bersedia untuk membentuk kerajaan perpaduan sekiranya keputusan pilihan raya menunjukkan tiada satu gabungan yang mempunyai majoriti yang mencukupi, Muhyiddin berkata dia tidak berminat untuk membuat spekulasi.

Bagaimanapun, Muhyiddin menyatakan harapan agar pengundi memilih PN untuk membentuk kerajaan sendiri.

“Jika mereka memilih PN, maka tidak akan ada kerajaan yang tergantung.

"Tetapi saya tidak tahu apa yang pengundi Melaka akan putuskan. Dan saya tidak berminat untuk membuat spekulasi," katanya.

Lihat Komen
ADS