Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Sabah, Sarawak diingatkan supaya tak hasut sentimen anti-Putrajaya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili menggesa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak supaya tidak menghasut sentimen anti-Putrajaya.

Ini berlaku selepas Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan Jeffrey Kitingan (PN-Keningau) minggu lalu menggambvarkan bahawa seruan untuk negeri Borneo berpisah dengan Semenanjung semakin kuat berhubung apa yang mereka anggap sebagai peruntukan yang bersifat diskriminasi dan tidak adil dalam Belanjawan 2022.

“Saya harap ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak lebih proaktif dalam sesuatu perkara dan tidak begitu mudah terpengaruh dengan politik seperti beberapa ahli parlimen yang mengatakan Sabah dan Sarawak dijajah Putrajaya.

“Kata-kata seperti itu tidak membantu. Kita harus berhati-hati dalam hal itu kerana sebahagian daripada anda pernah berada dalam kerajaan.

“Pernahkah ada bukti Putrajaya menjajah Sabah dan Sarawak?” kata Ongkili semasa ucapan penggulungan menteri untuk perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Ongkili menyeru agar ahli parlimen membantu "menjadikan negara berfungsi" di bawah payung Keluarga Malaysia yang baru, dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang menghasut.

Walaupun Ongkili tidak menamakan sesiapa, Azis mencelah bahawa dia tidak pernah berkata dia mahu Sabah meninggalkan Malaysia.

“Saya tidak kata saya mahu keluar dari Malaysia, apa yang saya bincangkan dalam Dewan yang mulia ini (kemarin) adalah mengenai layanan kerajaan persekutuan terhadap negeri Sabah dan Sarawak,” kata Azis.

Azis mengulangi hujahnya daripada perbahasannya mengenai Belanjawan 2022 minggu lepas, dengan mengatakan bahawa hanya kira-kira 40 peratus daripada RM5 bilion secara purata yang telah diperuntukkan kepada Sabah dari 2019 hingga 2022 habis digunakan setiap tahun.

“Sebab itu kami menggesa untuk menukar sistem dan menyerahkan peruntukan terus kepada kerajaan Sabah,” katanya.

Justeru, Azis menggesa Ongkili – sebagai menteri yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak – memperjuangkan peruntukan itu diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Lihat Komen
ADS