Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Khidmat polis pengiring Najib diteruskan hingga proses rayuan tamat
Diterbitkan:  Nov 16, 2021 11:27 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Meskipun Najib Razak telah disabitkan kesalahan di mahkamah, khidmat pengiring polis bagi bekas perdana menteri itu akan dikekalkan sehingga proses rayuan tamat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan media, hari ini.

"Bagi mana-mana bekas perdana menteri yang sedang berhadapan tindakan undang-undang, PDRM akan mengekalkan kelayakan kemudahan menggunakan khidmat pengiring keselamatan dan pengiring trafik kepada mereka sehingga proses rayuan dimuktamadkan mahkamah," katanya.

Kenyataan itu sebagai mengulas pertikaian beberapa pihak berhubung perkhidmatan keselamatan yang diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

Setakat ini Malaysia mempunyai empat orang bekas perdana menteri yang masih hidup iaitu Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak.

Bagaimanapun, satu-satunya bekas perdana menteri yang dijatuhi hukuman atas kesalahan jenayah ialah Najib.

Acryl Sani berkata, sejak akhir-akhir ini polis mengesan beberapa pihak yang mempertikaikan keistimewaan keselamatan dan pengiring trafik bagi bekas-bekas perdana menteri.

"Khidmat kedua-dua pengiring berkenaan disediakan PDRM berdasarkan kepada peruntukan di bawah Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 (Akta 237) berhubung keistimewaan bagi bekas perdana menteri.

"Buat masa ini, PDRM memberikan perkhidmatan berkenaan kepada semua bekas perdana menteri Malaysia," jelasnya.

Lihat Komen
ADS