Kira-kira 3,000 keluarga setinggan dan rumah panjang di kawasan Lembah Kelang berdepan dengan kemungkinan kehilangan tempat tinggal kerana tanah mereka diambil untuk pembangunan dan pada masa sama, rumah ganti tidak disediakan.

Presiden Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas), Tan Jo Hann berkata, masalah pengusiran setinggan telah berlaku sejak berpuluh tahun yang lalu.

"Ada rumah penduduk yang diroboh tanpa sebab dan penghuni tidak mendapat rumah ganti berpuluh tahun lamanya walaupun pada mula mereka dijanjikan diberi penempatan baru.

"Masalah ini terus berlaku dan kini 10 kawasan penempatan setinggan dan rumah panjang membabitkan 3,000 keluarga bakal kehilangan rumah masing-masing," katanya.

Tan berkata demikian ketika membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Malaysia (Suhakam) di ibu negara hari ini.

Beliau mewakili empat kawasan penempatan penduduk Rumah Panjang Jinjang, Kampung Chubadak, Rumah Panjang Rawang dan Ampang Mewah - kepada Pesuruhjaya Suhakam Datuk Siva Subramaniam.

Wakil Rumah Panjang Jinjang, Julie Wong Kim Mai berkata, ada 1,900 keluarga setinggan yang ditempatkan sementara di rumah panjang Jinjang yang dibahagikan kepada empat kawasan iaitu A, B, C dan D.

Kabel elektrik

Katanya, kawasan A dan B sudah didiami sejak 14 tahun lalu manakala kawasan C dan D 10 sejak tahun lalu tetapi sehingga hari ini belum ada tanda mereka akan diberikan penempatan kekal.

"Lebih membimbangkan 42 keluarga dari kawasan A kini terdedah kepada bahaya kerana rumah mereka terletak di bawah kabel elektrik bervoltan tinggi.

"Pada bulan Julai, penduduk menerima notis pindah dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi masalahnya mereka tidak memberi rumah ganti," katanya.

Julie berkata, penduduk pernah memohon untuk menduduki penempatan baru yang jaraknya dua kilometer dari Jinjang tetapi ditolak kerana dikatakan untuk setinggan dari Sungai Besi dan Cheras.

Wakil penduduk rumah panjang Rawang, Muniandy Sathyarayam pula berkata, tanah yang mereka duduki telah diambilalih oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk projek pembangunan.

"Yang menjadi persoalan ialah kes mahkamah yang dibawa oleh penduduk belum dibicarakan tetapi mereka (PKNS) sudah.membina bangunan," katanya.

Janji Suhakam

Wakil penduduk Kampung Chubadak Tambahan, Rosidah Mohd Daud mengadu, pihak pemaju bersama DBKL dan polis telah merobohkan dua rumah penduduk dan dewan komuniti pada 15 November lalu.

Katanya, penduduk telah memohon perintah mahkamah tetapi pegawai DBKL menyatakan ia adalah kerajaan.

Sementara itu, Siva dalam jawabannya berkata, adakalanya pihak berkuasa tidak menerimapakai istilah setinggan dengan betul.

"Kalau orang baru menduduki enam bulan mereka merupakan setinggan tetapi jika menjangkau berbelas tahun ia adalah penduduk kekal," katanya.

Pesuruhjaya Suhakam itu juga menasihatkan penduduk terbabit supaya tidak berurusan dengan pemaju secara persendirian kerana bimbang ditipu.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat dan mengetengahkan isu terbabit kepada pihak yang berkenaan untuk diselesaikan.