Ramlan: Kuil dibina secara haram
Ketua Pemuda Umno Bukit Mertajam, Ramlan Ishak mengakui pernah menulis surat meminta kuil Tou Mu Kung di Bukit Mertajam dirobohkan awal tahun ini kerana bangunan tersebut dibina secara haram dan terlalu dekat dengan jalan utama.
Ketua Pemuda Umno Bukit Mertajam, Ramlan Ishak mengakui pernah menulis surat meminta kuil Tou Mu Kung di Bukit Mertajam dirobohkan awal tahun ini kerana bangunan tersebut dibina secara haram dan terlalu dekat dengan jalan utama.
"Betul, saya memang pernah meminta kuil dirobohkan bagi mewakili penduduk sekitar yang merasakan projek tersebut mengganggu lalulintas.
"Memandangkan projek ini terletak di dalam kawasan Umno Bukit Mertajam dan saya selaku Ketua Pemuda, bertanggungjawab menyampaikan aduan rakyat kepada pihak berkuasa berkenaan," jelasnya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng yang mendakwa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Abdullah dan Ramlan adalah antara pihak yang menyokong supaya kuil itu dirobohkan kuil itu dirobohkan oleh MPSP Jumaat lalu.
Menurut Chong Eng, Ramlan telah menulis surat kepada Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) Februari tahun lalu, meminta kuil itu dirobohkan kerana dibina secara haram.
Manakala Setiausaha Sulit Timbalan Ketua Menteri, Haji Zulkafli Kamaruddin pula didakwa telah menulis surat pada 18 Ogos lalu kepada MPSP.
10 notis
Chong Eng berkata, antara lain kandungan surat Zulkifli itu berbunyi, "setelah menimbangkan aduan dari penduduk sekitar, NGO dan parti-parti politik, Datuk Abdul Rashid selaku Timbalan Ketua Menteri, menyokong dan mengesahkan perobohan kuli Tou Mu Kung sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku."
Kedua-dua surat itu dialamatkan kepada Yang Dipertua MPSB, Datuk Md Aris Ariffin.
Menurut Ramlan, kuil itu bukan sahaja terlalu dekat dengan jalanraya malah dibina tanpa pelan yang diluluskan oleh MPSP.
"MPSP telah mengeluarkan kira-kira 10 notis meminta pembinaan dihentikan dan dipindahkan ke tempat lain tetapi tidak dipedulikan oleh pihak berkenaan,"ujarnya.
Kuil berusia lebih 20 tahun itu sebelum ini terletak di lokasi tidak jauh dari Jalan Maju tetapi dipindahkan ke tempat sekarang pada tahun lalu selepas tapak asalnya diambilalih oleh syarikat pemaju hartanah.
Kuil ini hendak dirobohkan oleh MPSP sebelum ini tetapi ditangguhkan berikutan campurtangan ahli Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Toh Kim Woon dan Ahli Dewan Undangan Negeri Berapit, Lau Chiek Tuan.

