Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga ayam, minyak masak naik kerana permintaan tinggi - Fat Full
Diterbitkan:  Nov 23, 2021 12:23 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Pembukaan sektor ekonomi dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) mendorong kepada permintaan tinggi sekali gus menyebabkan kenaikan harga mendadak barangan asas seperti ayam dan minyak masak kebelakangan ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Dr Chong Fat Full berkata terdapat dua faktor menyebabkan kenaikan harga ayam iaitu peningkatan kos bahan mentah seperti kacang soya, jagung dan pertukaran mata wang asing selain faktor permintaan dan bekalan.

"Situasi ini menyebabkan permintaan meningkat dan menyebabkan harga barangan seperti juga turut meningkat yang mana penternak tidak dapat menjangka pembukaan ini.

"Justeru, apabila berlaku permintaan tinggi terhadap ayam, penternak memerlukan masa bagi menyediakan ayam dan ini akan mengambil masa untuk bekalan ayam menjadi stabil di pasaran," katanya pada hari keempat persidangan DUN Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Dr Chong (Bersatu-Pemanis) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Umno-Penawar), Md Ysahruddin Kusni (PH-Bukit Naning) dan Dr Faizul Amri Adnan (PH-Serom) mengenai tindakan kerajaan berhubung kenaikan harga keperluan asas terutama selepas beralih ke Fasa Empat PPN seperti ayam, minyak masak dan sayur-sayuran.

Menerusi tinjauan baru-baru ini, harga ayam di bandar raya ini didapati antara RM9.80 dan RM10.30 sekilogram.

Menjawab soalan tambahan Faizul Amri dan Sharifah Azizah mengenai tindakan kerajaan negeri dalam menangani isu harga minyak dan sayur-sayuran, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan kawalan harga bagi minyak masak bungkusan polibeg pada harga RM2.50 sekilogram.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah.

Bagaimanapun, Dr Chong berkata situasi dialami kini tidak pernah berlaku yang turut dialami seluruh dunia, dan kerajaan perlu mengimbangi antara permintaan pembeli, peruncit, pemborong dan pengilang.

"Saya sentiasa konsisten dalam menjawab persoalan mengenai kenaikan harga barangan. Isu ini begini...kalau permintaan tinggi dan bekalan tidak cukup, harga akan naik. Sebab itu, kerajaan telah tetapkan harga siling untuk memastikan tidak membebankan pembeli,” katanya yang sering turun padang untuk meninjau harga barang di pasaran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS