Umno tidak perlu bimbang dengan isu-isu perkauman yang dibangkitkan dalam perhimpunan agung Umno kerana kaum Cina dan India juga membangkitkan isu yang sama dalam perhimpunan parti mereka, kata bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurutnya, perhimpunan agung Umno adalah untuk orang Melayu dan oleh itu, perlu sekali isu mengenai orang Melayu dibangkitkan.

Beliau yang juga bekas menteri kewangan berkata, dalam masyarakat berbilang kaum dan Umno pula sebagai sebuah parti Melayu, maka ia tidak dapat lari daripada menyentuh soal kaum.

Tengku Razaleigh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Umno tidak akan mengadakan lagi siaran langsung bagi perhimpunannya tahun depan.

Menurut Najib, ia kerana ada perwakilan yang membangkitkan isu yang boleh menimbulkan kemarahan kepada kaum lain dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut.

Tengku Razaleigh berkata, jika orang Melayu tidak boleh membincangkan isu-isu mereka, kononnya atas alasan perkauman, jadi apa maknanya perhimpunan agung Umno diadakan.

"Usah risau dengan perwakilan yang membangkitkan isu-isu Melayu kerana orang Cina dan India juga mengkritik orang Melayu dalam persidangan MCA, Gerakan dan MIC.

"Mengapa orang Umno bercakap dianggap negatif tetapi kaum lain tidak sensitif. Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Ipoh Timur) pun bercakap secara terbuka di Parlimen.

Era keterbukaan

"Kita tak perlu sembunyikan apa yang mereka nak cakap...mereka nak bercakap, bercakaplah. Apa salah mereka bercakap. Mengapa nak tunduk kepada sesiapa...," katanya ketika ditemui di majlis Aidifitri di rumah bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali di ibu negara malam tadi.

Menurutnya, tidak ada sebab untuk Umno menghentikan siaran langsung seperti yang dibuatnya tahun ini kerana sekarang merupakan era keterbukaan.

"Dulu awak bercakap mengenai keterbukaan tetapi baru setengah jalan sudah dihentikan dan ini cara yang salah," kata beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh berkata, siaran langsung perhimpunan agung Umno yang dibuat oleh Astro baru-baru ini perlu diteruskan supaya orang Melayu tahu apa yang dibincangkan dalam perhimpunan tersebut.

Menurutnya lagi, mengapa baru sekarang mahu bercakap mengenai kesan daripada siaran langsung tersebut, kerana ia sepatutnya difikirkan sebelum perhimpunan itu diadakan.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob turut dilaporkan bersetuju dengan cadangan supaya perhimpunan agung Umno tidak disiarkan secara langsung menerusi televisyen kerana ia boleh menyinggung perasaan banyak pihak.

Namun, beliau agak sedih kerana isu yang menyentuh perkara-perkara sensitif semasa perhimpunan parti itu minggu lalu hanya dikaitkan dengan Umno,

"Kalau kita siarkan perhimpunan agung MCA, MIC dan DAP, mungkin ia lebih teruk lagi," katanya di Kuantan seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia hari ini.