Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafiq lepas jawatan pengerusi Bersatu, PN Melaka
Diterbitkan:  Nov 26, 2021 10:32 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Mohd Rafiq Naizamohideen hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan dikeluarkan bekas exco Melaka itu, dia juga melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Bersatu negeri terbabit.

Katanya surat rasmi peletakan jawatan tersebut akan diserahkan kepada presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, esok.

"Saya ingin memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka," katanya.

Tambah Mohd Rafiq peletakan jawatan itu dibuat bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru mengetuai parti supaya mereka mempunyai masa yang mencukupi membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15. 

Mohd Rafiq merupakan exco kanan Melaka semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri itu selepas PRU ke-14 yang diadakan pada 2018.

Bagaimanapun dia bersama Bersatu meninggalkan gabungan tersebut untuk membentuk kerajaan baru - tanpa pilihan raya negeri (PRN) - bersama BN pada Mac tahun lalu, sekali gus menyaksikan PH tumbang kerana kehilangan majoriti dalam DUN.

Bagaimanapun kerajaan negeri itu jatuh pula akibat tindakan empat Adun membatalkan sokongan mereka kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali, yang kemudian membawa kepada pelaksanaan PRN Melaka.

Dalam PRN yang diadakan pada 20 Nov lalu, PN meletakkan calon di semua 28 kerusi yang ada namun hanya memenangi dua daripadanya. Di sebalik kedudukan Mohd Rafiq sebagai pemimpin PN Melaka, dia gagal memenangi kerusi yang ditandinginya, Telok Mas.

Di sebalik kedudukannya sebagai pemimpin kanan Bersatu dan PN Melaka, gabungan terbabit menamakan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermiyati Samsudin sebagai calon ketua menteri.

Untuk rekod, Mas Ermieyati juga gagal memenangi kerusi yang ditandinginya, Tanjung Bidara.

Menurut Mohd Rafiq peletakan jawatan itu juga dibuat agar dia boleh memberikan fokus memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN serta Bersatu Tangga Batu.

Ia juga, katanya, membuka ruang buatnya memberi tumpuan penuh terhadap tanggungjawab sebagai naib presiden Bersatu menjelang PRU ke-15.

"Saya berdoa agar rakyat Melaka dan Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada PN pimpinan Muhyiddin dan semoga PN mencapai kejayaan cemerlang pada PRU yang bakal tiba nanti," katanya.

Lihat Komen
ADS