Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas ketua polis Perak Osman Salleh meninggal dunia
Diterbitkan:  Nov 28, 2021 6:54 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Bekas Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh, 65, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban pada pukul 12.51 tengah hari tadi.

Perkara itu dimaklumkan anaknya Dr Mohd Hafiz Osman menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

“Innalillahi wainna ilaihirojiun, dukacita dimaklumkan ayahanda saya, Osman Salleh telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12.51 tengah hari tadi di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

"Mohon sama-sama doakan Allah memberi keampunan dan rahmat kepada arwah abah saya,” menurut catatan berkenaan.

Difahamkan Allahyarham yang juga pernah menjawat jawatan ketua polis Negeri Sembilan itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah susulan Covid-19 selepas enam hari dimasukkan ke HTJ.

Menurut Mohd Hafiz jenazah Allahyarham yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Bekas Pegawai Kanan Polis (Respa) Negeri Sembilan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Ainsdale, Labu di Seremban kira-kira pukul 5 petang tadi.

Allahyarham pernah berkhidmat selama tujuh tahun di Negeri Sembilan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Perak ke-27 pada 16 Dis 2014 dan bersara wajib pada 13 Feb 2016.

Allahyarham yang berasal dari Seremban, mempunyai kelulusan dalam bidang Sarjana Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia dan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih 40 tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS